Singapura kurangkan tempoh kuarantin kepada 10 hari

Singapura akan mengurangkan tempoh kuarantin Covid-19 daripada 14 hari kepada 10 hari untuk pengembara yang tiba dari negara atau wilayah berisiko tinggi bermula 7 Oktober 2021, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) republik itu.

Pada masa sama, negara itu juga mewajibkan semua pemegang Pas Kerja dan Pas Pelajar, lengkap menerima vaksin Covid-19 sebelum tiba di republik ini, bermula 1 November 2021.

Bagaimanapun, pemegang pas jangka panjang di bawah usia 18 tahun dikecualikan daripada syarat itu.

MTF turut menyemak semula peraturan mengenai sejarah perjalanan daripada 21 hari kepada 14 hari bermula 7 Oktober dan tempoh itu termasuk transit dalam perjalanan ke Singapura dan tempoh berada di Singapura sebelum perjalanan mereka.

Namun, ini tidak termasuk perjalanan di bawah Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Malaysia-Singapura

Menurut MTF pengembara perlu menjalani ujian polymerase chain reaction (PCR) ketika ketibaan dan pada hari ke-10 serta ujian Antigen Rapid Test (ART) kendiri pada hari ketiga dan ketujuh.

Notis Duduk di Rumah (SHN) tamat apabila keputusan PCR negatif. Bayaran untuk SHN 10 hari di kemudahan khas yang disediakan adalah S$1,450.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Perubatan Singapura, Kenneth Mak berkata pada masa ini Singapura mengiktiraf individu lengkap divaksinasi dengan vaksin yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Selain itu, ia termasuk vaksin yang kami iktiraf di Singapura,” katanya pada sidang media maya MTF hari ini,

Keperluan vaksinasi merangkumi tanggungan pemegang pas kerja dan pemegang pas kerja ‘in-principle approval’ dengan sejarah perjalanan ke negara atau wilayah berisiko di bawah Kategori I dan II.

Bagaimanapun, langkah itu tidak tertakluk kepada mereka yang mendaftar di bawah Periodic Commuting Arrangement (PCA).

Ia hanya membabitkan mereka yang ingin memasuki Singapura melalui Work Pass Holder General Lane dan Student’ Pass Holder Lane.

Menurut MTF republik itu juga akan membuka semula permohonan kelulusan kemasukan untuk Pembantu Rumah Migran (MDW), pemegang S Pass dan permit izin kerja dari sektor Pembinaan, Marin dan Proses (CMP), dari negara atau wilayah berisiko tinggi – Kategori III dan IV – untuk memasuki Singapura.

Namun, ia berdasarkan syarat mereka telah lengkap divaksin sebelum ketibaan dan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka. – Bernama/agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR