Singapura kesan satu kes Delta Plus

Jumlah jangkitan Covid-19 di Singapura semalam turun semula kepada purata 3,000 kes sehari berbanding lebih 5,000 kes yang dicatatkan pada Rabu, menurut data Kementerian Kesihatan (MOH) negara itu.

Dalam tempoh 24 jam semalam, negara itu mencatatkan 3,432 jangkitan baharu, turun 1,892 kes, berbanding rekod tertinggi harian 5,324 kes yang dilaporkan pada Rabu.

Jangkitan terbaharu semalam menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu meningkat kepada 187,851 kes.

MOH berkata, seramai 15 pesakit berusia 62 hingga 98 tahun meninggal dunia semalam, menjadikan keseluruhannya 364 kes kematian dilaporkan akibat Covid-19.

Kes harian baharu yang dilaporkan semalam membabitkan 3,171 jangkitan dalam komuniti, 252 di kediaman pekerja asing dan sembilan kes import.

Sementara itu, MOH mengesahkan sehingga 26 Oktober lalu, satu kes import melibatkan varian Delta Plus (AY.4.2) telah dikesan, namun tiada bukti menunjukkan ianya telah menular dalam kalangan komuniti.

“AY.4.2 bukan varian baharu tetapi subvarian Delta,” kata MOH.

Sementara kesannya masih dikaji, AY.4.2 pada masa ini dianggap sama dengan subvarian Delta yang lain dari segi kebolehjangkitan dan kesan teruk. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR