Singapura kesan 21 kes Omicron import, tiga penularan tempatan

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan sehingga kini mengesan 24 jangkitan varian baharu Covid-19, Omicron, membabitkan 21 kes import dan tiga penularan tempatan.

“Memandangkan kebolehjangkitannya yang tinggi dan sudah merebak ke banyak bahagian dunia, kita harus menjangka untuk menemui lebih banyak kes Omicron di sempadan negara serta dalam komuniti kita,” kata MOH dalam satu kenyataan, malam tadi.

Memetik laporan Straits Times Singapura MOH memaklumkan, satu kes terbaharu dikesan melibatkan seorang kakitangan di Terminal Tiga Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Lelaki berusia 42 tahun itu, yang telah diberi vaksin sepenuhnya, mengalami demam pada 8 Disember lalu dan mendapatkan rawatan perubatan di klinik tempat dia diuji untuk Covid-19.

Dia kemudian dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada seorang lagi kakitangan berusia 54 tahun di Terminal 3 – satu daripada tiga kes yang dilaporkan pada Rabu yang diuji positif varian Omicron.

Justeru, sampel beliau diuji untuk varian Omicron, semalam, dan keputusan awal menunjukkan ia positif.

Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan sedang melakukan penjujukan genom keseluruhan untuk mengesahkan varian, dan pengesanan kontak turut dijalankan, menurut kenyataan itu.

Singapura melaporkan dua kes import yang pertama membabitkan varian Omicron yang disahkan pada 6 Disember lalu.

Kedua-dua kes berkenaan tiba dari Johannesburg dengan menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ479 pada 1 Disember lalu.

Semalam, republik itu melaporkan terdapat 355 jangkitan baharu Covid-19 dan seorang pesakit meninggal dunia. Kes kematian akibat Covid-19 direkodkan setiap hari sejak 20 September lalu.

Angka terkini menjadikan jumlah kematian Covid-19 Singapura kepada 808, dan kumulatif kes positif sebanyak 274,972. – ST

BERITA BERKAIT
POPULAR