Singapura catat 9,701 kes baharu

Singapura melaporkan 9,701 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari tadi (13 Mac 2022), kali pertama angka harian turun di bawah 10,000 dalam tempoh hampir sebulan.

Jangktan baharu itu meliputi 9,597 kes tempatan dan 104 kes import.

Enam kematian turut dicatat pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan pesakit Covid-19 meninggal dunia sejak awal 2020 lalu sebanyak 1,145 kes.

Terdapat 1,348 pesakit dirawat di hospital. Seramai 181 pesakit lagi memerlukan bantuan oksigen, menurut statistik terbaharu Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), malam ini.

Seramai 32 pesakit lagi sedang dirawat di unit rawatan rapi, turun berbanding 37 pesakit pada Sabtu.

Kebanyakan jangkitan baharu Covid-19 di Singapura adalah kes Protokol 2, iaitu mereka yang sihat atau dinilai mempunyai gejala ringan.

Antara kes yang dilaporkan pada Ahad, meliputi 8,383 diklasifikasikan di bawah Protokol 2, terdiri daripada 8,326 kes tempatan dan 57 jangkitan import.

Sebanyak 1,318 kes lagi disahkan melalui ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), dengan 47 daripadanya adalah jangkitan import.

Kadar kebolehjangkitan mingguan ialah 0.87, lebih rendah daripada angka Sabtu iaitu 0.89. Ia kekal di bawah 1 sejak 2 Mac, menunjukkan bahawa jumlah kes Covid-19 mingguan menurun.

Singapura telah merekodkan 939,436 kes Covid-19 sejak permulaan wabak itu pada awal 2020 lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR