
Singapura merekodkan 7,109 kes baharu semalam, 21 Jun 2022. - Gambar ST
Singapura menyaksikan lonjakan jangkitan Vovid-19 dari minggu ke minggu sebanyak 23 peratus dalam kes melibatkan komuniti, sebahagian besarnya didorong oleh dua subvarian Omicron – BA.4 dan BA.5 – kata Kementerian Kesihatan (MOH) semalam (21 Jun).
Semalam sahaja, negara republik itu mengesan 7,109 jangkitan baharu Covid-19, iaitu 6,393 kes melibatkan komuniti dan 716 kes import, lapor MOH.
Varian Omicron BA.4 dan BA.5 membentuk 30 peratus kes komuniti pada minggu lalu, berbanding 17 peratus, lapan peratus dan tiga peratus masing-masing untuk tiga minggu sebelumnya.
“Walaupun subvarian BA.2 masih menyumbang sebahagian besar jangkitan Covid-19 kami, bahagian jangkitan BA.4 dan BA.5 semakin meningkat,” kata MOH.
“Lonjakan dalam kes BA.4 dan BA.5 mungkin berterusan, didorong oleh kebolehjangkitan yang lebih tinggi berbanding BA.2,” kata MOH, tetapi menyatakan bahawa bukti tempatan dan di luar negara menunjukkan bahawa tahap keterukan kedua-dua jangkitan subvarian adalah serupa dengan varian Omicron yang terdahulu.
Tidak akan ada perubahan pada langkah pengurusan selamat yang lazim, termasuk memakai pelitup muka di dalam rumah dan kawalan jangkitan berkaitan vaksin untuk aktiviti berisiko tinggi.
MOH berkata tidak terdapat peningkatan ketara jangkitan teruk di hospital, dan bilangan kes di unit rawatan rapi (ICU) kekal rendah.
Bagaimanapun, ia menyatakan bahawa hospital awam “tetap sibuk menjaga pesakit bukan Covid”, dan banyak hospital mengalami penghunian katil yang tinggi.
Kementerian menggesa orang ramai untuk mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan hospital hanya untuk keadaan serius atau mengancam nyawa. – TODAY