Singapura catat 448 kes Omicron

Sebanyak 448 kes varian baharu Covid-19, Omicron, yang disahkan dikesan di Singapura setakat ini, terdiri daripada 369 kes import dan 79 jangkitan tempatan, kata Kementerian Kesihatan (MOH), hari ini.

MOH juga mengumumkan bahawa satu kluster melibatkan 10 kes Omicron yang dikaitkan dengan bar di River Valley Road turut dikesan.

Kes utama dalam kluster itu, ‘kes 280860’, ialah pengembara yang tiba di Singapura pada 14 Disember lalu dari Amerika Syarikat (AS) melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

Ujian semasa ketibaannya adalah negatif Covid-19, dan ujian berikutnya mendapati pengembara itu positif pada 18 Disember lalu, kata MOH.

Pengembara itu bertemu dengan rakan sekerja, yang dikenal pasti sebagai ‘kes 281477’, pada 15 Disember dan rakan sekerja ini kemudiannya melawat The Vinyl Bar di 266 River Valley Road pada 17 Disember.

Siasatan epidemiologi MOH mendapati ‘kes 281477’ kemungkinan menularkan virus kepada seorang kakitangan di bar, yang dikenal pasti sebagai ‘kes 281876’, serta tiga pelanggan yang berada di bar pada petang itu, yang dikenali sebagai ‘kes 282091, 282143 dan 282178’.

“Kes 282091 kemudian menjangkitkan pula virus itu kepada empat isi rumahnya,” kata MOH.

Semua 10 kes yang dikaitkan dengan kluster itu telah divaksin sepenuhnya dan mempunyai simptom ringan atau tiada simptom, kata MOH, sambil menambah pengesanan kontak rapat masih dilakukan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR