Singapura catat 4,248 kes baharu, 16 kematian semalam

Seramai 16 pesakit berkaitan Covid-19 berusia 44 hingga 90 tahun meninggal dunia pada Jumaat, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura.

Kesemuanya mempunyai komorbiditi, kata MOH dalam kemas kini laporan hariannya.

Lelaki berusia 44 tahun itu belum diberi vaksin Covid-19, tambah MOH tanpa memberikan butiran lanjut.

Kematian terbaharu itu menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu di negara itu meningkat kepada 380 kes. Semalam adalah hari ke 40 berturut-turut Singapura merekodkan kes kematian akibat Covid-19.

MOH juga melaporkan sebanyak 4,248 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam semalam, menjadikan keseluruhannya 192,099 kes positif.

Daripada jumlah kes baharu itu, 3,710 melibatkan jangkitan di dalam komuniti, 536 kes membabitkan pekerja asing dan dua kes import.

Kes pada Jumaat, termasuk 559 individu berusia 60 tahun ke atas.

MOH berkata sehingga kini terdapat 257 pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di wad biasa hospital awam, 80 dalam keadaan kritikal dan memerlukan perhatian serius di unit rawatan rapi (ICU), dan 50 lagi kes teruk yang memerlukan alat bantuan pernafasan di ICU.

Kadar penggunaan kemudahan di ICU juga meningkat kepada 74 peratus berbanding 72.8 peratus pada Khamis, kata MOH. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR