Singapura catat 3,112 kes baharu, 14 kematian semalam

Singapura mencatat 3,112 jangkitan baharu Covid-19 semalam, turun berbanding 4,248 kes yang direkodkan pada Jumaat, kata Kementerian Kesihatan negara itu (MOH).

Dalam tempoh 24 jam itu juga negara berkenaan merekodkan 14 kematian akibat komplikasi Covid-19 yang melibatkan pesakit berusia 63 hingga 98 tahun.

Semua pesakit itu mempunyai sejarah komorbiditi, kata MOH dalam laporan hariannya tanpa menjelas lanjut berkenaan penyakit yang dihidapi mangsa.

Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu sehingga semalam kepada 195,211 kes positif dan 394 kematian.

Jangkitan harian semalam melibatkan 2,608 kes dalam komuniti, 500 kes penularan di kediaman pekerja asing dan empat kes import.

Seramai 408 individu dijangkiti dalam komuniti melibatkan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

Kadar jangkitan mingguan adalah sebanyak 1.14, turun berbanding 1.15 pada Jumaat. Kadar jangkitan mingguan melebihi satu menunjukkan jumlah kes baharu mingguan masih meningkat.

Menurut MOH sehingga kini terdapat 267 pesakit yang memerlukan oksigen, dan 129 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 60 memerlukan alat bantuan pernafasan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR