Singapura catat 2,470 kes baharu Covid-19

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di Singapura turun lagi kepada 2,470 kes semalam, berbanding 2,553 kes pada Ahad, lapor Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Jumlah kumulatif kes positif di republik itu kini mencecah 220,803 kes.

Bagaimanapun, kadar jangkitan mingguan meningkat sedikit kepada 0.84 pada Isnin berbanding 0.81 pada Ahad.

Kadar jangkitan merujuk kepada nisbah kes komuniti pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan yang melebihi satu menunjukkan bahawa jumlah kes mingguan baharu Covid-19 masih meningkat.

MOH juga melaporkan daripada jumlah jangkitan baharu itu, 2,307 kes melibatkan jangkitan di dalam komuniti setempat, 156 di kalangan penempatan pekerja asing dan tujuh kes import.

Jangkitan dalam komuniti turut membabitkan 355 individu berusia 60 tahun ke atas.

Dalam tempoh 24 jam semalam juga, 14 pesakit berusia 56 hingga 98 tahun meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan Covid-19. Semua mereka mempunyai komorbiditi penyakit lain, kata MOH.

Jumlah keseluruhan kematian di Singapura kini meningkat kepada 511 kes.

Sementara itu, kadar penggunaan kemudahan di unit rawatan rapi (ICU) semalam turun kepada 68.5 peratus berbanding 69.9 peratus pada Ahad, kata MOH lagi.

Sehingga semalam terdapat 1,725 pesakit dirawat di hospital, 301 pesakit memerlukan oksigen tambahan di wad biasa.

Seramai 62 pesakit lagi diberi perhatian di ICU, manakala 67 lagi pesakit dalam keadaan kritikal memerlukan alat bantuan pernafasan. – ST

BERITA BERKAIT
POPULAR