Singapura catat 1,931 kes baharu semalam

Singapura tidak mungkin akan melonggarkan lagi sekatan Covid-19 bulan depan, dengan Menteri Kewangan, Lawrence Wong berkata negara itu akan mempertimbangkan langkah seterusnya sekitar akhir Disember jika semuanya berjalan lancar.

Ini adalah sebahagian daripada pendekatan tambahan kerajaan untuk menangani pandemik itu, yang kini mengorbankan 654 penduduk Singapura, termasuk 13 yang meninggal dunia semalam.

Sehingga semalam Singapura merekodkan 250,518 kes positif, termasuk 1,931 kes baharu semalam, meningkat berbanding 1,734 kes pada Jumaat.

Walaupun terdapat permintaan untuk sekatan dilonggarkan bagi sektor lain, Singapura memfokuskan hanya pada satu parameter pada masa ini, kata Wong.

Pasukan petugas pelbagai kementerian yang menangani wabak Covid-19 juga mengumumkan orang ramai dibenar berkumpul dalam kumpulan sehingga lima individu mulai Isnin.

“Kami akan memantau perkembangan dalam beberapa minggu akan datang, dan jika keadaan keseluruhan kekal stabil, sistem penjagaan kesihatan kekal stabil, kami boleh mempertimbangkan langkah seterusnya… sekitar akhir Disember,” katanya.

Menurutnya, kelonggaran yang diberi sekarang sudah dianggap sebagai langkah besar yang akan mengakibatkan lebih banyak interaksi sosial dan boleh membawa kepada lebih banyak jangkitan.

“Jangan desak sehingga kepada hadnya. Jika sikap kita adalah untuk terus mendesak hingga kepada had… tidak dinafikan bahawa dalam masa singkat, anda akan melihat peningkatan semula kes, hospital kita akan dibanjiri pesakit.

“Kita akan kembali dalam situasi yang sangat sukar ini untuk membuat keputusan,” katanya memberi contoh keadaan di Eropah sekarang ini. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR