Singapura 16,857 jangkitan baharu, Indonesia 46,643 kes

Singapura hari ini melaporkan 16,857 jangkitan baharu Covid-19, menjadikan keseluruhannya kes positif yang dikesan sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 696,652 kes.

Statistik laman sesawang Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) juga menunjukkan seramai 13 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam hari ini, menjadikan kumulatif sebanyak 999 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, 16,714 melibatkan penularan tempatan dan 143 lagi adalah kes import, lapor MOH.

Seramai 1,553 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital, dengan 212 daripadanya memerlukan bantuan oksigen.

Lima puluh pesakit lagi dirawat di unit rawatan rapi, meningkat berbanding 46 pesakit pada Jumaat.

Kebanyakan jangkitan baharu di Singapura adalah kes Protokol 2, iaitu mereka yang sihat atau dinilai mempunyai gejala ringan.

Daripada jumlah kes baharu itu, 14,410 diklasifikasikan di bawah Protokol 2, terdiri daripada 14,333 kes tempatan dan 77 kes import.

Seramai 2,447 pesakit lagi dikenal pasti menerusi ujian PCR, dengan 66 membabitkan kes import.

Sementara itu, Indonesia pula merekodkan 46,643 jangkitan baharu hari ini menjadikan kumulatif positif Covid-19 di negara itu melebihi 5.5 juta kes, tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Daripada jumlah itu lebih 4.7 juta pesakit telah sembuh, termasuk 41,805 pesakit yang pulih hari ini.

Sementara itu, Pasukan Khas Covid-19 Indonesia memaklumkan seramai 258 pesakit meninggal dunia hari ini, menjadikan keseluruhannya 147,000 kes kematian.

Indonesia juga mencatat 578,353 kes aktif. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR