Singapura catat 15,851 kes baharu

Selepas merekodkan jumlah jangkitan harian di bawah paras sebanyak 9,042 kes pada Isnin, Singapura semalam (Selasa 15 Mac 2022), kembali mencatat angka melepasi 10,000 kes.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) memaklumkan sebanyak 15,851 kes baharu dilaporkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 15,686 melibatkan penularan tempatan dan 165 lagi kes import, kata MOH.

Ini adalah hari Selasa ketujuh berturut-turut bilangan kes telah meningkat daripada hari sebelumnya.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung sebelum ini ketika merujuk kepada corak sedemikian, menulis di Facebook pada Oktober 2021 bahawa angka akan sentiasa meningkat selepas hujung minggu.

Terdapat enam kematian baharu pada Selasa, menjadikan jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 di Singapura kini mencecah 1,159 kes.

Seramai 1,311 pesakit di hospital, menurut statistik jangkitan terkini di laman web MOH dengan seramai 191 pesakit memerlukan sokongan oksigen.

Empat puluh pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi, berbanding 37 pada Isnin.

Kebanyakan jangkitan baharu Covid-19 di Singapura adalah kes Protokol 2, iaitu mereka yang sihat atau dinilai mempunyai keadaan ringan.

Daripada kes baharu yang dilaporkan pada Selasa, 13,916 diklasifikasikan di bawah Protokol 2, terdiri daripada 13,786 kes tempatan dan 130 jangkitan import.

Sebanyak 1,935 lagi kes disahkan melalui ujian tindak balas rantai polimerase (PCR), dengan 35 daripadanya adalah kes import.

Sehingga kini, Singapura telah merekodkan 964,329 kes Covid-19 sejak permulaan wabak itu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR