
Singapura.
Jumlah jangkitan Covid-19 di Singapura turun kepada 13,158 kes semalam (6 Mac 2022), berbanding 16,274 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam pada Sabtu.
Statistik Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu menunjukkan daripada jumlah jangkitan baharu itu seramai 1,437 pesakit dimasukkan ke hospital, berbanding 1,559 pada Sabtu.
Kadar kebolehjangkitan mingguan Covid-19 kekal di bawah satu iaitu pada 0.95, kekal seperti pada Sabtu, kata MOH dalam laporan hariannya. Ia adalah hari kelima berturut-turut kadar jangkitan mingguan menurun di bawah satu sejak 3 Januari lalu.
Kadar tersebut merujuk kepada nisbah kes komuniti untuk minggu lalu berbanding sepanjang minggu sebelumnya. Kadar lebih daripada satu menunjukkan bahawa jumlah kes baharu mingguan Covid-19 semakin meningkat.
Pada Jumaat, MOH menyatakan penurunan dalam kadar pertumbuhan jangkitan mingguan menunjukkan bahawa gelombang wabak semasa mungkin telah sampai ke kemuncaknya.
MOH berkata ia akan terus memantau keadaan dengan rapi dengan harapan langkah pengurusan Covid-19 yang selamat dapat diperkemas dan dipermudahkan tidak lama lagi.
Sementara itu, lima kematian dilaporkan semalam, turun berbanding enam kes pada Sabtu.
Pada Ahad, terdapat 47 pesakit di unit rawatan rapi, turun daripada 48 pada Sabtu, manakala 190 pesakit memerlukan bantuan oksigen.
Daripada kes tempatan yang dilaporkan pada Ahad, 11,408 dikesan melalui ujian pantas antigen (ART), dan dinilai oleh doktor mempunyai simptom ringan dan berisiko rendah.
Sebanyak 1,610 kes lagi dikesan melalui ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).
Terdapat 140 kes import baharu, di mana 55 daripadanya dikesan melalui ujian PCR dan 85 melalui ART.
Sehingga Ahad, Singapura telah merekodkan sejumlah 832,821 kumulatif positif Covid-19, dengan 1,078 kematian.
Kira-kira 95 peratus daripada populasi yang layak telah melengkapkan rejim vaksinasi penuh, dan 69 peratus daripada jumlah populasi telah menerima suntikan penggalak. – Agensi