Singapura beri amaran potensi gelombang Omicron, perketat SOP

Penduduk Republik Singapura yang tidak menerima vaksin Covid-19 dihalang memasuki pusat beli-belah, pawagam dan perpustakaan, selain hotel, kemudahan sukan dalam dewan, dan upacara pengebumian mulai Februari tahun depan.

Langkah itu diambil tatkala program suntikan dos penggalak diperhebatkan, setelah bimbang dengan potensi besar kemungkinan berlaku gelombang jangkitan membabitkan varian baharu Covid-19, Omicron.

Sehingga hari ini, negara itu mengesan 16 kes yang berkaitan Omicron – varian baharu Covid-19 yang mula dikesan di Afrika Selatan dan dipercayai mampu menular dengan pantas. Semua yang dikesan itu adalah kes import kecuali dia kakitangan lapangan terbang.

Sementara belum ada lagi tanda-tanda penularan tempatan, Menteri Perdagangan (MTI), Gan Kim Yong yang mengetuai pasukan petugas pelbagai agensi menangani Covid-19 berkata kes berkaitan Omicron hanya menunggu masa untuk berlaku.

“Oleh itu kita mesti membuat persediaan bagi menghadapi senario itu,” katanya.

Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung pula memberi amaran kemungkinan potensi gelombang besar bakal berlaku disebabkan jangkitan Omicron, sambil menambah bahawa adalah tidak realistik untuk mengekalkan varian itu walaupun Singapura menutup sempadan sepenuhnya.

“Kita mesti belajar hidup dengan Omicron sebagaimana kita lakukan terhadap varian Delta,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada rancangan perlindungan yang lebih baik, individu yang tidak divaksinasi akan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.

Pada masa ini, mereka tidak dibenarkan menjamu selera di restoran atau pusat penjaja dan dilarang masuk ke pusat beli-belah, pawagam dan perpustakaan.

Mulai Februari 2022, senarai tempat dan acara yang dilarang kepada individu tidak divaksin akan diperluaskan merangkumi institut pengajian tinggi, hotel dan kemudahan sukan dalaman. Mereka yang tidak disuntik juga akan dihalang daripada menghadiri acara berkaitan peringatan pengebumian.

Singapura juga akan mula memberi vaksin kepada kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun sebelum akhir tahun ini. Jumaat lalu, ia memperluaskan suntikan penggalak kepada mereka yang berumur antara 18 hingga 29 tahun.

Penduduk akan menerima suntikan ketiga mereka lima bulan selepas melengkapkan dos kedua.

Setakat ini, 87 peratus daripada jumlah penduduknya telah lengkap divaksinasi, manakala 30 peratus telah menerima suntikan penggalak. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR