Singapura beri amaran kes Covid XBB bakal memuncak bulan ini

October 15, 2022 · Dunia

Singapura menjangkakan gelombang semasa jangkitan Covid-19 dipacu oleh sub-varian Omicron XBB akan memuncak pada purata 15,000 kes sehari mulai pertengahan November.

Unjuran berdasarkan gelombang jangkitan sebelum ini menunjukkan bahawa Singapura mempunyai kapasiti penjagaan kesihatan yang mencukupi untuk menghadapi peningkatan kes Covid-19, kata Kementerian Kesihatan Republik Singapura (MOH) hari ini.

Hospital awam di Singapura telah pun mengambil pelbagai langkah, seperti menangguhkan kemasukan tidak segera, serta menyediakan 200 katil lagi untuk merawat pesakit Covid-19.

Dalam dua minggu akan datang, hospital awam akan mengendalikan lebih 800 katil untuk pesakit Covid-19, kata MOH. Kapasiti kemudahan rawatan Covid-19 juga akan ditingkatkan secara berperingkat untuk menyediakan lebih 800 katil.

“Ini berkemungkinan gelombang pendek dan meruncing yang didorong oleh XBB, selain sedikit sebanyak kes disebabkan jangkitan semula,” kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada sidang media.

Ketika Singapura berusaha untuk tidak kembali kepada sekatan seperti dilakukan peringkat awal wabak pada 2020, Ong menggesa rakyat Singapura untuk mengambil tanggungjawab peribadi di tengah-tengah gelombang baharu jangkitan.

Katanya kemungkinan mewajibkan pemakaian semula pelitup muka dan langkah kawalan yang lebih ketat tidak boleh diketepikan.

“Mungkin kita memakai semula pelitup muka kita, katakan di dalam rumah, atau di dalam dan di luar rumah, jika keadaan memerlukannya…

“Kita mungkin perlu meningkatkan VDS (langkah pengurusan selamat yang dibezakan dengan vaksinasi) ke tahap yang sesuai untuk melindungi mereka yang tidak terkini dengan vaksinasi mereka,” kata Ong.

“Kami memantau gelombang XBB dengan teliti dan kesannya terhadap sistem penjagaan kesihatan untuk melihat sama ada beberapa langkah ini perlu diambil.”

MOH juga menggesa orang ramai untuk mengunjungi jabatan kecemasan hospital hanya jika keadaan kecemasan sahaja.

Bagi meringankan beban klinik pengamal am dan poliklinik di sini, majikan digesa tidak meminta sijil perubatan daripada pekerja yang telah melakukan ujian kendiri dan positif Covid-19 atau mempunyai simptom jangkitan pernafasan akut.

“Ini bagi mengelakkan pesakit yang mempunyai simptom ringan atau tiada simptom mengunjungi awam, yang akan menjejaskan standard penjagaan bagi pesakit lain yang memerlukan rawatan perubatan,” kata MOH.

Mereka yang sihat digalakkan untuk bekerja dari rumah jika mereka boleh berbuat demikian, manakala mereka yang mempunyai simptom seperti selesema ringan juga digalakkan untuk mempertimbangkan telekonsultansi dengan doktor mereka.

Kadar penghunian katil dewasa keseluruhan di hospital pada pertengahan minggu adalah kira-kira 93 peratus, kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan Singapura Kenneth Mak.

Untuk memastikan terdapat katil yang mencukupi bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat kedua-dua hospitalisasi Covid-19 dan bukan Covid-19, hospital awam telah diarahkan untuk secara progresif mengurangkan kerja klinikal pesakit yang tidak mendesak.

Ini adalah untuk memberi hospital lebih fleksibiliti bagi menyesuaikan kapasiti, kata Mak.

Sub-varian Omicron XBB atau dikenali sebagai BA.2.10, kini merupakan punca utama jangkitan Covid-19 di Singapura. Sepanjang minggu 3 hingga 9 Oktober lalu ia menyumbang 54 peratus daripada kes Covid-19 tempatan.

Pertama kali dikesan pada Ogos, ia telah ditemui di lebih 17 negara, termasuk Australia, Denmark, India dan Jepun.

Walaupun XBB sekurang-kurangnya boleh ditularkan seperti varian lain, termasuk BA.5 dan BA.2.75, yang masing-masing menyumbang 21 peratus dan 24 peratus daripada kes tempatan, MOH berkata tiada bukti ia menyebabkan penyakit yang lebih teruk.

Bagaimanapun, terdapat bukti menunjukkan bahawa XBB mungkin mendorong peningkatan jangkitan semula, yang kini membentuk kira-kira 17 peratus daripada jumlah kes baharu.

Terdapat 8,763 kes baharu Covid-19 tempatan direkodkan pada 14 Oktober, turun daripada kes tertinggi baru-baru ini iaitu 11,399 kes tempatan pada 11 Oktober

Sehingga 14 Oktober, terdapat 562 pesakit Covid-19 di hospital, 44 memerlukan bantuan oksigen dan sembilan dirawat di unit rawatan rapi. – ST

Malaysia Memilih
Semak keputusan PRU15
Berita berkaitan
Laporan tangguh Kabinet buat Anwar rimas, janji selesai sehari dua lagi
December 2, 2022· Politik
PRU15: Tiada laluan khas pengundi positif Covid-19 di pusat undi
November 16, 2022· Isu semasa
KJ, Dr Noor Hisham disaman isu vaksin Covid-19
November 16, 2022· Isu semasa
Covid-19 : Pengundi positif dilarang naik Grab, bas keluar undi
November 15, 2022· Isu semasa
Popular
Gempa bumi 6.4 magnitud gegar Jawa Barat petang tadi
December 3, 2022
Junta Myanmar sudah tahan 10,000 orang sejak 14 bulan rampasan kuasa
April 1, 2022
Piala Dunia: Jepun cipta kejutan, malukan juala empat kali Jerman
November 23, 2022
Pemerintah Dubai diarah bayar nafkah bekas isteri, anak £550 juta
December 22, 2021
Lagi Dunia terkini
Gempa bumi 6.4 magnitud gegar Jawa Barat petang tadi
9 jam lalu · Dunia
Jeddah banjir besar selepas 13 tahun
November 24, 2022 · Dunia
Piala Dunia: Jepun cipta kejutan, malukan juala empat kali Jerman
November 23, 2022 · Dunia
Korban gempa bumi di Jawa barat meningkat kepada 268 orang
November 22, 2022 · Dunia
Qatar tuan rumah pertama Piala Dunia kalah aksi pembukaan
November 21, 2022 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Jangan berkira duit balik mengundi demi bangsa dan agama
December 3, 2022
[VIDEO] Ucapan Sanusi di PRK Padang Serai
December 3, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok