Singapura arah murid jalani ujian Covid-19 dua minggu sekali

Kerajaan Republik Singapura mengarahkan semua murid sekolah rendahnya menjalani ujian antigen (ART) sekali untuk setiap dua minggu sehingga tamat penggal ke empat persekolahan.

Kementerian Pelajaran (MOE) Singapura berkata ujian itu akan memupuk sikap tanggungjawab murid dan menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat untuk belajar.

Keperluan itu juga merangkumi murid sekolah rendah pendidikan khas.

Pihak sekolah akan mengedarkan 10 kit ART kepada setiap murid mulai 25 Oktober ini. Ujian antigen akan dimulai pada 25 Oktober hingga 31 Oktober dan kemudian pada 8 November hingga 14 November, kata MOE.

Murid yang didapati positif melalui ujian ART itu tetapi sihat, akan mengikut peraturan Kementerian Kesihatan (MOH) dan menjalani kuarantin selama 72 jam, sebelum ujian kedua dilakukan, kata MOE.

“Murid berkenaan akan menamatkan kuarantin kendiri dan kembali ke sekolah setelah negatif ujian ART itu,” kata MOE lagi.

“Kami menggesa murid dan kakitangan sekolah terus mengamalkan kebersihan diri yang baik dan menjalankan tanggungjawab sosial melalui ujian berkala”.

Pengerusi bersama pasukan petugas Covid-19, Lawrence Wong pada Rabu mengatakan bahawa walaupun terdapat langkah-langkah pengurusan yang sangat “ketat” di sekolah, melakukan ujian berkala untuk pelajar dan kakitangan akan membantu meminimumkan penyebaran jangkitan.

“Kami rasa bentuk ujian ini dapat dilakukan secara berkala … ini adalah cara di mana kami dapat terus, sebanyak mungkin, melakukan aktiviti normal, tetapi memastikan bahawa ini dilakukan dengan selamat,” kata Lawrence.

Pada Rabu, MOH mengumumkan Singapura akan melanjutkan sekatan Covid-19 untuk satu bulan lagi kerana lebih banyak masa diperlukan untuk menstabilkan keadaan.

Sekatan di bawah Fasa Penstabilan, yang bermula pada 27 September dan pada awalnya dijadualkan berlangsung hingga 24 Oktober, dilaksanakan untuk mengurangkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan negara, kini telah dilanjutkan hingga 21 November.

BERITA BERKAIT
POPULAR