Shehbaz Sharif PM baharu Pakistan

Presiden Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) Shehbaz Sharif, adik kepada bekas perdana menteri tiga kali Nawaz Sharif yang kini berusia 72 tahun, telah dipilih oleh Parlimen negara itu sebagai perdana menteri ke-23 Pakistan.

Shehbaz, 70, mengambil alih jawatan berkenaan selepas minggu bersejarah dan pergolakan politik Pakistan yang menyaksikan ramai Ahli Parlimen yang setia kepada bekas Perdana Menteri Imran Khan meletak jawatan setelah dengan pakatan pembangkang mengambil alih kuasa.

Shehbaz dipilih setelah memperoleh 174 undi di Parlimen, dan akan secara rasmi mengangkat sumpah jawatan itu pada malam Isnin. Semua ahli parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) diketuai Imran Khan memboikot undi Parlimen dan tidak mengemukakan calon mereka sendiri.

Imran tidak hadir dalam dewan ketika pengundian berlangsung.

Shehbaz mengetuai PML-N sejak 2018 menjadi ketua pakatan pembangkang, yang turut merangkumi Parti Rakyat Pakistan (PPP). Sebelum pemilihan Imran pada 2017, kedua-dua parti itu telah menguasai politikPakistan selama lebih sedekad.

Mereka bergabung dalam satu pakatan dengan kumpulan konservatif Jamiat-ulema-e-Islam (F) yang lebih kecil, dengan tujuan bersama untuk memecat Imran daripada jawatan.

Bekas parti pemerintah Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), yang menuntut pilihan raya dipercepatkan, sepakat untuk keluar dewan beramai-ramai.

“Ahli Parlimen PTI sepakat untuk meletakkan jawatan kerana menentang kerajaan import,” kata pegawai PTI Farrukh Habib.

Shehbaz adalah salah seorang daripada beberapa pemimpin utama pembangkang yang dipenjarakan di bawah pemerintahan Imran dan beliau menghabiskan lapan bulan di penjara atas tuduhan pengubahan wang haram sebelum dibenarkan ikat jamin pada April 2021.

Penganalisis politik menjangkakan Imran akan memberi tekanan terhadap kerajaan baharu untuk memaksa pilihan raya umum dipercepatkan memandangkan PTI dilihat menerima sokongan sebahagian besar rakyat.

Peletakan jawatan secara beramai-ramai dari Parlimen akan membantu Imran mengukuhkan lagi kedudukan politiknya dan menyukarkan kerajaan baharu, kata bekas diplomat Abdul Basit menerusi media sosial.

“Ini adalah keputusan berani dan selaras dengan dasar awamnya,” kata beliau. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR