
Mana-mana individu yang ingin memasuki Shanghai perlu menjalani ujian Covid-19. - Gambar EPA
Shanghai akan menjalani penutupan secara dua peringkat bagi menjalankan ujian Covid-19 kepada penduduknya selama sembilan hari, ia susulan peningkatan kes jangkitan harian tidak bergejala.
Pihak berkuasa bandar yang menjadi pusat kewangan China itu berkata akan membahagikan bandar Shanghai kepada dua bahagian untuk menjalankan ujian tersebut dengan menggunakan Sungai Huangpu yang melalui bandar itu sebagai rujukan.
Daerah yang terletak di timur sungai dan beberapa daerah di barat akan ditutup dan orang ramai akan diuji bermula 28 Mac sehingga 1 April. Kawasan selebihnya akan ditutup dan diuji bermula 1 hingga 5 April.
Pengangkutan awam, termasuk perkhidmatan teksi sewa dalam talian di kawasan tersebut akan digantung sementara sepanjang tempoh penutupan, kata pihak berkuasa menerusi notis dalam akaun WeChat rasmi, sambil menambah kenderaan yang tiada kelulusan tidak akan dibenarkan berada atas di jalan raya.
Selain itu juga, semua firma dan kilang akan memberhentikan pembuatan atau bekerja dari rumah semasa penutupan, selain daripada mereka yang terlibat dalam perkhidmatan awam atau membekalkan makanan.
“Orang ramai diminta menyokong, memahami dan bekerjasama dengan kerja-kerja pencegahan dan kawalan wabak yang sedang dijalankan pihak berkuasa, serta mengambil bahagian dalam ujian asid nukleik dengan teratur,” kata pihak berkuasa.
Shanghai mengalami lonjakan kes jangkitan Covid-19 baharu selama hampir sebulan dan pada Sabtu merekodkan jumlah kes harian tertinggi sejak penularan wabak berasal dari China itu mulai reda.
Bandar itu merekodkan 2,631 kes baharu tak bergejala, ia menyumbang hampir 60% daripada jumlah kes tak bergejala di China pada hari tersebut, ditambah 47 kes baharu dengan gejala.
Walaupun bilangan kes di Shanghai kekal sederhana mengikut piawaian global, bandar dengan penduduk 26 juta orang itu kini dijadikan medan ujian bagi strategi “sifar Covid” kerajaan China yang cuba mengawal penularan varian, Omicron.
Pihak berkuasa Shanghai sebelum ini menentang langkah penutupan secara meluas bandar itu untuk mengelakkan ketidakstabilan ekonominya dan memilih pendekatan lebih khusus dengan menjalankan ujian pemeriksaan di kawasan kejiranan satu demi satu.