Setiausaha Kesihatan Britain positif Covid-19

Setiausaha Negara (Kesihatan dan Tanggungjawab Sosial) British, Sajid Javid hari ini mengesahkan beliau diuji positif Covid-19, tetapi memaklumkan simptomnya adalah rendah dan beliau juga sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Javid, sebelum ini menyokong penuh rancangan Perdana Menteri Boris Johnson untuk membuka sepenuhnya ekonomi England dan memansuhkan semua larangan Covid-19 mulai Isnin ini.

“Pagi ini saya diuji dan positif Covid-19,” katanya di laman Twitternya sambil menambah beliau turut melakukan ujian PCR yang perlu dikaji di dalam makmal.

Katanya beliau sedang menunggu keputusan ujian PCR itu selain telah selesai mengambil dua suntikan vaksin.

Javid menyatakan beliau telah mengambi dua dos vaksin AstraZeneca di mana yang terakhir adalah pada 16 Mei lalu.

Dalam kenyataannya Javid berkata beliau melakukan ujian hari ini setelah berasa pening, namun simptom yang dihadapinya adalah rendah.

Britain sekarang ini berdepan dengan gelombang ketiga Covid-19, tetapi Johnson dan Javid menyatakan program vaksinasi telah lama mematahkan rantaian antara jangkitan dan kematian.

Jumlah jangkitan Covid-19 di United Kingdom (UK) semalam adalah sebanyak 51,870 kes, menjadikan jumlah keseluruhan dalam tempoh seminggu sejak Sabtu lalu sebanyak 277,995 kes, meningkat 34.9 peratus berbanding data minggu sebelumnya.

Kematian yang berkaitan dengan Covid-19 turut meningkat 57.4 peratus setiap minggu, di mana pihak berkuasa melaporkan 277 kes sejak 10 Julai, termasuk 49 pada Jumaat.

Angka positif Covid-19 itu dijangka melonjak penghujung bulan ini atau tepatnya dua minggu selepas perlawanan akhir EURO 2020 yang berlangsung di Stadium Wembley, England, dengan kehadiran lebih 60,000 penonton.

Malah, sudah ada laporan mengatakan terdapat penyokong England diuji positif Covid-19 ketika pihak berkuasa kesihatan England (PHE) meminta mereka melakukan ujian berkala, menjelang rancangan Perdana Menteri Boris Johnson untuk menamatkan sekatan Covid-19 di seluruh negara itu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR