Setelah dua tahun Australia buka semula sempadan

Australia akan membuka semula sempadannya kepada pelancong mulai 21 Februari, umum Perdana Menteri Scott Morrison hari ini, menamatkan beberapa sekatan pandemik yang paling ketat dan paling lama di dunia.

“Sudah hampir dua tahun sejak kami mengambil keputusan untuk menutup sempadan ke Australia,” kata Morrison selepas mesyuarat Kabinet berkaitan keselamatan negara.

Beliau mengumumkan sempadan akan dibuka semula kepada semua pemegang visa pada 21 Februari tahun ini, sambil menambah:

“Jika anda diberi vaksin dua kali, kami berharap dapat mengalu-alukan anda kembali ke Australia.”

Sempadan Australia ditutup pada Mac 2020 dengan harapan dapat melindungi benua pulau itu daripada wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Selama tempoh itu, warga Australia dilarang keluar dan hanya segelintir pelawat diberikan pengecualian untuk masuk.

Sekatan dikenakan sebelum ini menyebabkan puluhan ribu rakyat Australia terkandas di luar negara, menghancurkan industri pelancongan bernilai berbilion dolar, dan sering menimbulkan perdebatan sengit berhubung status Australia sebagai negara moden, terbuka dan berpandangan jauh.

Bagi setiap bulan penutupan sempadan dilaksanakan kos perniagaan yang ditanggung adalah kira-kira AS$2.6 bilion, menurut Dewan Perniagaan dan Industri Australia.

Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan, sekatan mula dilonggarkan secara beransur-ansur untuk warga Australia, penduduk tetap dan pelajar.

Keputusan terkini akan menyaksikan hampir semua sekatan akan ditarik balik.

Hampir 95 peratus daripada populasi Australia berumur 16 tahun ke atas sudah menerima lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan hampir sembilan juta individu pula menerima dos penggalak. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR