Setelah dua hari loceng dibunyi, jangkitan di Thailand mula naik

Setelah dua hari lalu membunyikan ‘loceng amaran’ berhubung penularan gelombang Covid-19, Thailand pagi tadi melaporkan dalam tempoh 24 jam lalu sebanyak 21,232 jangkitan baharu direkodkan di negara itu.

Daripada jumlah itu, 21,064 adalah penularan tempatan, manakala 168 lagi melibatkan pengembara yang tiba dari luar negara, lapor Kementerian Kesihatan Awam Thailand (PHM).

Angka itu menjadikan kumulatif positif sejak wabak Covid-19 menular awal 2020 lalu hingga pagi tadi meningkat kepada 2,770,793 kes, kelima tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia, Filipina, Malaysia dan Vietnam.

Sejak 1 Januari hingga hari ini pula jumlah kes positif di Thailand adalah sebanyak 547,358. Negara itu kini merekodkan lebih 169,000 kes aktif, mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Data terkini juga menunjukkan negara itu turut merekodkan 39 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam itu, menjadikan keseluruhannya lebih 22,694 kes kematian.

Isnin lalu, PHM ‘membunyikan loceng amaran’ setelah majoriti wilayah di negara itu melaporkan lonjakan kes Covid-19, dengan situasi di Nakhon Ratchasima dilihat serius kerana kekurangan katil untuk pesakit, ketika pakar mengatakan jangkitan harian di negara itu boleh mencecah 100,000 kes.

Pakar virologi Thailand Dr Yong Poovorawan memberi amaran bahawa kes Covid-19 harian boleh mencecah 100,000 berikutan subvarian BA.2 Omicron merebak pantas di negara itu.

Data menunjukkan pada 5 hingga 11 Februari lalu, 500 kes daripada 1,975 kes jangkitan Omicron, atau 18.5 peratus merupakan subvarian BA.2 atau dikenali sebagai ‘stealth Omicron’.

Sementara itu, PHM menaikkan amaran penularan Covid-19 daripada Tahap 3 kepada Tahap 4 – kategori yang merangkumi peraturan tidak menggalakkan makan atau minum di restoran dan mengelak perhimpunan awam bagi membendung penularan Covid-19.

Kementerian itu juga menjangkakan jumlah jangkitan baharu akan terus meningkat dalam tempoh satu atau dua minggu akan datang berikutan penularan pantas varian Omicron, yang kini menyumbang lebih daripada 90 peratus kes aktif.

PHM juga menasihatkan orang ramai supaya mengambil suntikan penggalak secepat mungkin, terutama mereka yang berumur 60 tahun ke atas atau menghidap penyakit asas.

Sehingga Ahad, 71.1 peratus daripada hampir 70 juta penduduk negara itu telah lengkap divaksinasi, manakala 27.5 peratus telah menerima suntikan penggalak, menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR