Setelah 300 tahun Arab Saudi sambut Hari Penubuhan, pilih 22-02-2022

Arab Saudi hari ini, 22 Februari 2022 buat pertama kali setelah hampir 300 tahun, memperingati penubuhan negara itu, sekali gus dilihat mengikis sedikit peranan dimainkan ulama daripada aliran Wahabi ultra konservatif.

Persembahan muzik, pertunjukan bunga api, dron dan pengkisahan sejarah moden Arab Saudi dianjurkan dengan kira-kira 3,500 penghibur mengambil bahagian, lapor Agensi Berita Arab Saudi, SPA.

Ulang tahun itu menandakan hari di mana pada tahun 1727 apabila Mohammed bin Saud, pengasas pertama negara Arab Saudi, mengambil alih Emiriah Diriyah – sebuah bandar terpencil yang kini terletak di pinggir barat laut ibu kota Arab Saudi, Riyadh.

Ianya adalah kira-kira 18 tahun sebelum apa yang dianggap oleh sejarawan sebagai permulaan negara Arab Saudi apabila bin Saud, seorang ketua puak, menjalin pakatan dengan pendakwah Islam Mohammed ibn Abd al-Wahhab, yang doktrinnya sering dirujuk sebagai Islam Wahhabi.

Perjanjian dengan golongan ulama meningkatkan legitimasi pemerintah Al Saud sebagai pertukaran untuk pembiayaan dan pengaruh mewah yang diberikan kepada penubuhan agama konservatif berhubung isu sosial, pendidikan dan moral awam – kuasa yang baru-baru ini dibendung oleh pemimpin de facto negara itu.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman telah mengekang penguat kuasa agama, membuka negara kepada konsert dan pawagam, menarik balik larangan ke atas wanita memandu dan melonggarkan sistem penjagaan yang membenarkan lelaki mengawal kehidupan saudara perempuan mereka.

Dekri diraja bulan lalu mengisytiharkan 22 Februari sebagai hari kelepasan rasmi, dikenali sebagai “Hari Penubuhan”, yang akan diperingati setiap tahun sebagai pengiktirafan “bermulanya pemerintahan Imam Muhammad bin Saud” dan menandakan permulaan negara Arab Saudi yang pertama.

“Mohammed ibn Abd al-Wahhab sedang dipadamkan daripada sejarah Arab Saudi,” kata Kristin Diwan, pensyarah kanan Negara Teluk Arab di Institut Washington.

“Ini adalah nasionalisme baharu Arab Saudi. Ia meraikan Al Saud – mengikat rakyat secara langsung kepada keluarga diraja – dan memperkecilkan peranan penting yang dimainkan oleh agama dalam penubuhan negara,” kata Diwan.

Majlis Syura Arab Saudi, badan penasihat berpengaruh kepada kerajaan, bulan lalu juga meluluskan cadangan untuk meminda undang-undang yang mengawal selia bendera dan lagu kebangsaan.

Tidak jelas sama ada ia akan mengubah kandungan bendera yang merangkumi pengakuan iman Islam: “Tiada Tuhan selain Allah; Muhammad adalah pesuruh Allah”.

Arab Saudi sebelum ini sudah merayakan Hari Kebangsaan pada 23 September, yang memperingati kemenangan Al Saud ke atas suku saingan dari wilayah Hijaz dan penaklukan dua tanah suci Islam, Makkah dan Madinah, pada 1925.

Negara itu kemudiannya dinamakan kerajaan Arab Saudi pada tahun 1932.

Sementara itu, seluruh bandar di Arab Saudi mengadakan pertunjukan kebudayaan tradisional bermula 22 hingga 24 Februari untuk memperingati Hari Penubuhan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR