
Anggota bomba memadamkan kebakaran di depoh minyak di daerah Budyonnovsky di Donetsk, Ukraine, pada 26 Julai 2022. - Gambar Reuters
Sebuah depoh minyak di wilayah yang dikuasai Russia di timur Ukraine terbakar semalaman selepas tentera Ukraine membedil bandar Donetsk, kata ketua pentadbiran bandar itu pada Selasa (26 Julai 2022).
“Akibat serangan semalaman di daerah Budennovsky, berlaku kebakaran di gudang penyimpanan bahan api,” kata Datuk Bandar Donetsk Alexey Kulemzin dalam satu catatan di rangkaian sosial Telegram.
Tiada kemalangan jiwa akibat kebakaran itu, kata perkhidmatan kecemasan Donetsk.
Api telah dipadamkan sekitar jam 10 pagi waktu tempatan, kata Kulemzin.
Reuters tidak dapat mengesahkan laporan atau punca kebakaran.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan kebakaran marak berhampiran tangki minyak di landasan kereta api di depoh simpanan itu.
Donetsk ialah ibu kota kumpulan pemisah yang disokong Russia – “Republik Rakyat Donetsk” – sebuah entiti yang memisahkan diri di wilayah Donbas Ukraine, yang hanya diiktiraf oleh Russia, Syria dan Korea Utara. – Reuters