Serangan Israel ke atas Gaza mungkin ‘jenayah perang’: PBB

Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Michelle Bachelet menyifatkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza baru-baru ini yang mengorbankan lebih 200 rakyat Palestin mungkin merupakan ‘jenayah perang’ jika terbukti ianya tidak setimpal.

Kenyataan Bachelet pada Khamis dibuat ketika beliau membuka sesi khusus sidang Majlis Hak Asasi Manusia PBB, yang diadakan atas permintaan Pakistan – bagi puhak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) – dan Palestin.

Katanya, beliau tidak melihat bukti bangunan awam yang diserang pesawat tentera rejim Israel itu digunakan untuk tujuan ketenteraan.

“Sekiranya didapati tidak setimpal, serangan tersebut mungkin merupakan jenayah perang,” katanya kepada 47 wakil negara anggota pada forum di Geneva.

Dalam serangan berterusan selama 11 hari di Semenanjung Gaza bermula 10 Mei lalu sekurang-kurangnya 253 rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak terbunuh, manakala lebih 1,900 lagi cedera, lapor Kementerian Kesihatan di Gaza.

Sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk tiga warga asing, dan dua kanak-kanak terbunuh di Israel susulan serangan balas pejuang hamas.

“Walaupun dilaporkan Israel menyasarkan anggota kumpulan bersenjata dan infrastruktur ketenteraan mereka, serangan itu mengakibatkan kematian dan kecederaan orang awam, kerosakan besar-besaran kepada kemudahan awam,” kata Bachelet, yang menyoroti skala kemusnahan di Gaza, yang berada di bawah sekatan Israel sejak 14 tahun.

Beliau membangkitkan bahawa bangunan kerajaan, kediaman, pertubuhan bantuan antarabangsa, kemudahan kesihatan dan pejabat media menjadi sasaran serangan rejim Israel.

“Walaupun terdapat tuduhan oleh Israel bahawa banyak bangunan itu melindungi kumpulan bersenjata atau digunakan untuk tujuan ketenteraan, kami belum melihatnya,” kata Bachelet. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR