Serangan AS ke atas Raqqa tidak pula dituduh jenayah perang: Putin

Dalam ulasan pertamanya mengenai dakwaan pembunuhan beramai-ramai sejak tentera Russia berundur dari pinggir bandar Kyiv, Ukraine, lebih seminggu lalu, Presiden Vladimir Putin pada Selasa berkata laporan jenayah perang dan imej mengerikan di Bucha adalah palsu.

Putin turut membandingkannya dengan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas bandar-bandar seperti Raqqa di Syria

“Adakah anda melihat bagaimana bandar Syria itu diruntuhkan oleh pesawat Amerika? Mayat terbaring dalam runtuhan selama berbulan-bulan dan reput.

“Tiada siapa peduli. Tak ada yang perasan pun,” kata Putin menyindir pihak yang gigih menuduh Moscow melakukan jenayah perang di Ukraine tetapi memejam mata apabila tindakan sama diambil AS di negara lain, khususnya di Syria.

“Tiada suara seperti itu (dakwaan pembunuhan di Bucha) apabila provokasi dilakukan AS di Syria, apabila mereka menggambarkan penggunaan senjata kimia oleh kerajaan Assad.

“Kemudian ternyata ia adalah palsu. Ia adalah kepalsuan yang sama di Bucha,” katanya lagi.

Serentak itu, Putin berikrar akan meneruskan operasi ketenteraan ke atas Ukraine sehingga tamat, setelah rundingan damai menemui jalan buntu, setelah Ukraine menuduh Moscow melakukan jenayah perang.

Ukraine menuduh tentera Russia melakukan jenayah perang termasuk membunuh orang awam yang tidak bersenjata di Bucha dan bandar-bandar lain di utara.

Pemimpin Barat menggesa siasatan antarabangsa mengenai dakwaan itu, namun Russia menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan palsu.

BERITA BERKAIT
POPULAR