Seoul, Sydney perketat peraturan kekang penularan varian Delta

Seorang pemuda Korea Selatan menjalani ujian calitan Covid-19. - Gambar CNN

Kores Selatan dan Australia masing-masing hari ini mengisytiharkan peraturan Covid-19 yang lebih ketat di Seoul dan Sydney bagi mengekang penularan varian Delta.

Perdana Menteri Korea Selatan Kim Boo-kyum berkata kawasan metropolitan Seoul memasuki tahap empat penjarakan sosial selama dua minggu mulai Isnin ini.

Di Korea Selatan penjarakan sosial dibahagikan kepada empat peringkat di mana yang keempat adalah paling ketat.

Kota metropolitan Seoul dengan populasi 25 juta penduduk, sebelum ini diletakkan pada tahap dua, yang melarang perhimpunan lebih daripada empat individu dan tidak boleh makan minum di dalam restoran selepas jam 10 malam.

Peraturan baharu berkuat kuasa Isnin ini akan melarang perhimpunan lebih daripada dua orang selepas jam 6 petang, termasuk di restoran.

Kebanyakan acara awam, termasuk pameran, pertunjukan dan perhimpunan dilarang sama sekali, sementara perkahwinan dan kematian hanya boleh dihadiri ahli keluarga terdekat.

“Kerana ini adalah langkah penjarakan sosial tahap paling tinggi dan tidak ada tahap lagi yang lebih tinggi,” kata Kim yang meminta orang ramai mematuhi peraturan baharu itu mulai hari ini jika perlu.

Menteri Pelajaran Yoo Eun-hae pula berkata sekolah di Seoul dan sekitarnya akan ditutup dan semua pelajar akan mengikuti sesi pembelajaran menerusi dalam talian bermula Rabu sehingga cuti musim panas berakhir.

Sesi pembelajaran ini turut membabitkan tadika, sekolah rendah, menengah dan tinggi selain sekolah pendidikan khas.

Semalam, Seoul melaporkan 1,316 kes baharu Covid-19, dengan 1,236 daripadanya adalah jangkitan tempatan, kata Badan Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KDCA).

Pesuruhjaya KDCA Jeong Eun-kyeong berkata jangkitan varian Delta menunjukkan peningkatan sepanjang masa dan boleh menjadi virus dominan pada Ogos.

“Kes varian Delta meningkat di kalangan individu lebih aktif berusia 20-an dan 30-an, dan cenderung tidak mempunyai simptom atau hanya mengalami gejala ringan,” kata Jeong.

Sementara itu, Sydney juga mengumumkan langkah memperketatkan peraturan kawalan Covid-19 susulan penularan varian Delta di bandar raya itu sehingga 16 Julai ini dan akan disambung sekiranya diperlukan.

Mulai hari ini orang ramai di Sydney hanya boleh membeli-belah barang keperluan, tidak dibenar bersenam dalam kumpulan lebih daripada dua individu dan tidak boleh keluar melebihi 10 kilometer dari kediaman mereka, kecuali jika kecemasan.

Sejumlah 44 kes baharu Covid-19 dilaporkan di New South Wales sehingga jam 8 malam tadi, kata Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian hari ini.

Katanya sehingga semalam sembilan peratus penduduk New South Wales menerima dua dos vaksin – masih di bawah sasaran peringkat nasional sebanyak 10.18 peratus daripada jumlah penduduk melebihi usia 16 tahun.

“Jangan berfikir bahawa kerajaan New South Wales berpendapat bahawa kita dapat hidup dengan (virus) ini ketika kadar vaksinasi kita hanya pada 9%.

“Kerana jika kita memilih untuk hidup dengan ini (virus) sementara kadar vaksinasi adalah 9%, kita akan melihat ribuan dan ribuan kemasukan ke hospital dan kematian,” katanya. – Agensi

POPULAR