Seorang penunjuk perasaan maut dalam protes antikerajaan di Sri Lanka

Seorang penunjuk perasaan maut ditembak anggota polis ketika kemarahan rakyat memuncak di Sri Lanka akibat keadaan hidup yang daif di tengah-tengah krisis ekonomi.

Mangsa maut ketika polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang menghalang lebuh raya di bandar Rambukkana dan kes itu adalah kematian pertama dilaporkan ketika protes antikerajaan sedang berlangsung, lapor Bernama.

Menurut laman sesawang akhbar Sri Lanka Daily Mirror, seorang maut dan 24 orang cedera termasuk lapan anggota polis.

Rakyat Sri Lanka berang dengan kenaikan harga barangan keperluan dan bahan api ketika negara itu bergelut untuk menangani kegawatan ekonomi paling serius sejak kemerdekaan pada 1948.

Sri Lanka minggu lalu mengumumkan kemungkinan hutang asingnya mencecah US$51 bilion.

Presiden Gotabaya Rajapaksa telah menubuhkan kerajaan baharu untuk menenangkan keadaan.

Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa yang juga abang Gotabaya pada Selasa berkata Sri Lanka akan menukar perlembagaan untuk mengurangkan kuasa presiden dan memberi lebih kuasa kepada Parlimen.

BERITA BERKAIT
POPULAR