Seorang maut, 13 warga Palestin cedera ditembak askar rejim Zionis Israel

Seorang rakyat Palestin terbunuh ketika tentera rejim pengganas Israel menyerbu kem pelarian Jenin di Ramallah, Tebing Barat yang diduduki rejim itu secara haram, semalam (9 April 2022).

Seramai 13 lagi cedera, termasuk seorang wanita berusia 19 tahun dengan peluru di perutnya, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Warga Palestin yang terbunuh dikenali sebagai Ahmad al-Saadi yang dilaporkan merupakan anggota Briged al-Quds (Saraya al-Quds), sayap tentera gerakan Jihad Islam.

Serbuan itu dilakukan untuk menangkap bapa kepada seorang lelaki Palestin yang membunuh tiga warga Israel dalam tembak di sebuah pusat hiburan di Tel Aviv pada Khamis dan yang kemudiannya ditembak mati tentera Zionis Israel.

Tidak jelas sama ada tentera rejim melakukan sebarang tangkapan di rumahnya pada Sabtu. Askar rejim meninggalkan kem itu beberapa jam kemudian.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memperkukuhkan anggota mereka di sepanjang sempadan dengan Tebing Barat untuk mengelakkan pencerobohan oleh mana-mana pejuang Palestin.

Israel juga menyampaikan mesej kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas melalui Amerika Syarikat (AS), meminta beliau menghentikan pencen kepada bapa penyerang yang telah bersara sebagai pegawai keselamatan Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Gabenor Jenin Mejar Jeneral Akram Rajoub, memberitahu Arab News bahawa apa yang dilakukan tentera Israel merupakan “tindakan membalas terhadap penduduk Jenin.

Rajoub berkata pihak berkuasa keselamatan rejim Israel meminta bapa penyerang kejadian di Tel Aviv itu untuk menyerah diri dan apabila dia enggan, mereka memasuki kem itu untuk menangkapnya.

Dia juga menyatakan kebimbangannya bahawa kumpulan pejuang Palestin mungkin mengeksploitasi kemarahan orang ramai di kem Jenin untuk meningkatkan keganasan dan memburukkan lagi keadaan keselamatan di Palestin.

Bagaimanapun seorang anggota Parlimen (Knesset) Israel, Ofer Kasif berkata: “Pembunuhan di Jenin hanya akan membawa lebih banyak pembunuhan di Israel.”

Seorang penduduk di kem itu, Mansour Al-Saadi, memberitahu tentera rejim Israel mengepung rumah penyerang itu sebagai persediaan untuk merobohkannya, sambil menggambarkan keadaan di kem berkenaan sebagai “sangat tegang.”

Ratusan warga Palestin meratapi kematian Ahmed Al-Saadi, yang terbunuh semasa pertempuran bersenjata dengan tentera Israel dalam serbuan di kem itu.

Penduduk menentang hukuman kolektif oleh Israel ke atas tiga juta rakyat Palestin yang tinggal di Tebing Barat, ketika Ramadan.

Pergerakan Pejuang Islam Palestin (Hamas) menghantar mesej kepada Israel melalui pengantara antarabangsa bahawa jika tentera rejim itu menyerang Jenin secara besar-besaran, Gaza akan menyertai konfrontasi seperti yang berlaku setahun lalu apabila Israel mengganggu penduduk kejiranan Sheikh Jarrah Baitulmaqdis.

Isu itu telah membawa kepada perang 11 hari antara Hamas dan Israel.

Penduduk Palestin yang tinggal di Jenin memberitahu Arab News bahawa pelbagai langkah keselamatan dan ekonomi yang diambil oleh Israel tidak membantu, kerana tanpa penyelesaian politik kepada konflik Israel-Palestin, serangan tidak akan berakhir.

Selama bertahun-tahun, mereka berkata, rakyat Palestin telah mengadakan pemberontakan, dan sekarang ini wujud gelombang baharu serangan oleh pemuda yang marah yang telah memutuskan untuk bertindak balas terhadap apa yang mereka lihat sebagai “ancaman nyata, penghinaan harian, dan kehilangan harapan pada masa depan.” – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR