Senjata AS tiba di Ukraine

Bantuan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) kepada Ukraine bagi mempertahankan diri daripada kemungkinan serangan oleh Russia, telah mula tiba, menurut Kedutaan Amerika di Kiev.

Kedutaan itu, dalam catatan Twitter, berkata peralatan berkenaan, termasuk senjata pemusnah selain peluru untuk pertahanan barisan hadapan Ukraine.

“Penghantaran itu – selain AS$2.7 bilion sejak 2014 – menunjukkan komitmen AS untuk membantu Ukraine memperkukuh pertahanannya dalam menghadapi pencerobohan Russia yang semakin meningkat,” kata kedutaan itu dalam tweet lain.

Gambar dengan tweet menunjukkan kontena hijau besar dipunggah di lapangan terbang.

Kedutaan itu bagaimanapun tidak menjelaskan atau menunjukkan apa lagi peralatan yang diberikan tetapi berkata ia adalah penghantaran pertama bantuan yang diarahkan oleh Presiden Joe Biden.

Pengumuman itu dibuat menyusul kemungkinan Russia akan menyerang Ukraine tidak lama lagi.

Satu mesyuarat di Geneva diketuai Setiausaha Negara Antony Blinken dan Menteri Luar Russia Sergey Lavrov tidak menghasilkan keputusan memuaskan walaupun kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan perbincangan.

Sekiranya Russia mahu mula meyakinkan dunia bahawa ia tidak mempunyai niat agresif terhadap Ukraine, situasi yang sangat baik untuk bermula ialah berundur dari sempadan Ukraine, kata Blinken

Rusia telah menempatkan pasukan bersenjata yang besar di sempadan dengan Ukraine dan menghantar tentera serta kenderaan berperisai ke Belarus, di utara Ukraine, bagi latihan ketenteraan bersama yang dijadualkan bermula pada 10 Februari.

Russia sebelum ini menuntut Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) supaya menolak penyertaan Ukraine dalam pakatan itu, tetapi ditolak oleh AS dan sekutunya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR