
Anggota bomba Korea Selatan mencari penumpang bas yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di Gwangju, Korea Selatan, semalam. - Gambar Reuters
Sekurang-kurangnya sembilan terbunuh, manakala lapan lagi cedera parah selepas sebuah bangunan yang sedang dirobohkan tiba-tiba runtuh dalam kejadian di bandar Gwangju, barat daya Korea Selatan, semalam.
Bomba memaklumkan mereka menerima laporan jam 4.22 petang bahawa sebuah bangunan lima tingkat runtuh di Gwangju, bandar yang terletak kira-kira 270 kilometer di barat daya Seoul.
“Runtuhan itu menghempap sebuah bas yang berhenti di sebuah stesen berhampiran tapak pembinaan di mana bangunan itu runtuh,” kata pegawai bomba.
Sehingga jam 8.40 malam tadi enam penumpang bas disahkan terbunuh manakala lapan lagi cedera parah dan dihantar ke hospital berdekatan.
Pada awalnya, bomba menjangkakan hanya ada 12 penumpang sahaja di dalam bas, namun mereka menjumpai lebih ramai lagi yang terperangkap ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Awalnya dua penumpang sebuah kereta juga dipercayai tertimbus di bawah runtuhan itu, tetapi pihak berkuasa menafikannya selepas melihat rakaman kamera litar tertutup.
Pasukan pencari dan penyelamat masih berusaha mengesan kemungkinan terdapat pekerja binaan yang tertimbus dalam runtuhan itu. – Agensi