Semakin ramai kanak-kanak di Eropah, AS hidap hepatitis misteri

Kes hepatitis yang tidak diketahui asal usulnya, pertama kali dikesan menjangkiti kanak-kanak United Kingdom (UK), kini telah direkodkan di empat lagi negara Eropah serta Amerika Syarikat (AS), kata agensi kesihatan Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa (19 April).

Pada Jumaat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sedang memantau 84 kes hepatitis akut teruk yang dilaporkan di Britain sejak 5 April dan menjangkakan lebih banyak kes sedemikian dalam beberapa hari akan datang.

Kes kini telah direkodkan pada kanak-kanak di Denmark, Ireland, Belanda dan Sepanyol, kata Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit EU (ECDC) dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sembilan kes yang disyaki juga telah direkodkan di negeri Alabama di AS, kata agensi itu.

“Siasatan sedang dijalankan di semua negara yang melaporkan kes. Pada masa ini, punca sebenar hepatitis pada kanak-kanak ini masih tidak diketahui,” kata ECDC.

Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak terbabit tidak mengalami demam. Tetapi beberapa kes di UK sangat teruk sehingga pesakit terpaksa dipindahkan ke bahagian pakar hati kanak-kana, manakala enam lagi menjalani pemindahan hati, kata WHO dan ECDC.

Jangkitan ini kebanyakannya menjejaskan kanak-kanak berumur di bawah 10 tahun dan gejalanya, termasuk demam kuning, cirit-birit, muntah dan sakit perut.

Virus hepatitis yang diketahui, dari A hingga E, tidak dikesan pada kanak-kanak. Oleh itu, pihak berkuasa kesihatan Britain telah meneliti pautan kepada virus biasa, atau kemungkinan punca lain seperti Covid-19 atau faktor persekitaran.

Buat masa ini, penyiasat mengesyaki bahawa punca paling mungkin adalah jangkitan, kata ECDC.

“Tiada pautan kepada vaksin Covid-19 dikenal pasti dan maklumat terperinci yang dikumpul melalui soal selidik kepada kes tentang makanan, minuman dan tabiat peribadi gagal mengenal pasti sebarang pendedahan biasa,” kata ECDC.

Di Perancis “dua kes hepatitis akut yang mana kajian tentang punca timbulnya penyakit itu telah dilaporkan oleh Hospital Universiti Lyon” membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dan “sedang disiasat”.

Kes hepatitis akut dalam kalangan kanak-kanak jarang berlaku. Kejadian kedua-dua kes ini tidak dijangka dan tidak menunjukkan, pada peringkat ini, lebihan kes di Perancis.

Meera Chand, pengarah klinikal dan jangkitan baharu di Agensi Keselamatan Kesihatan UK, badan perlindungan kesihatan awam, berkata “langkah kebersihan biasa” seperti mencuci tangan “membantu mengurangkan penyebaran banyak jangkitan yang kami sedang menyiasat”. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR