Selepas dikenakan sekatan, PM Jepun kecam Rusia

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida pada Khamis mengecam langkah Rusia melarang beberapa individu memasuki negara itu dan menyifatkan ia satu tindakan yang “tidak boleh diterima sama sekali”.

Pada Rabu, Kementerian Luar Rusia mengeluarkan senarai nama 63 individu yang dilarang memasuki Rusia termasuk Kishida, Menteri Luar Yoshimasa Hayashi, Menteri Kewangan Shunichi Suzuki, Menteri Pertahanan Nobuo Kishi dan Menteri Kehakiman Yoshihisa Furukawa, lapor Bernama.

“Pengumuman Rusia itu tidak boleh diterima sama sekali. Kami akan mengambil langkah sewajarnya serta bekerjasama dengan Kumpulan Tujuh negara dan masyarakat antarabangsa,” kata Kishida lapor Sputinik memetik penyiar NHK.

Jepun sebelum ini telah mengenakan beberapa pakej sekatan terhadap Rusia kerana operasi ketenteraannya di Ukraine.

Antaranya, mengecualikan Rusia daripada rejim perdagangan negara pilihan dan mengenakan larangan ke atas kira-kira 300 barangan eksport.

Pada masa sama, Jepun turut melarang 38 jenis barangan import dari Rusia. Jepun juga telah mengenakan sekatan ke atas 499 individu Rusia, termasuk pegawai dan ahli perniagaan, sembilan bank dan lebih 160 organisasi.

BERITA BERKAIT
POPULAR