
Sekolah di New Zealand hadapi ancaman serangan siber. - Gambar iStock
Sekurang-kurangnya 12 sekolah di seluruh New Zealand hari ini (28 Julai) menerima ancaman bom menyebabkan gangguan meluas dalam apa yang dipercayai sebagai serangan siber dari luar negara.
Banyak sekolah yang terlibat sama ada ditutup atau mengarahkan pelajar pulang.
Gelombang ancaman baharu datang 24 jam selepas panggilan palsu terhadap empat sekolah pada Rabu di Waikato, Thames dan Gisborne di Pulau Utara.
Presiden Persekutuan Pengetua New Zealand, Cherie Taylor-Patel, memberitahu RNZ beliau telah bercakap dengan Kementerian Pendidikan, yang “memahami bahawa ini sebenarnya serangan siber yang datang dari luar negara”.
Polis New Zealand dalam satu kenyataan berkata mereka “tidak percaya ada risiko keselamatan”.
Tetapi pihak berkuasa berkata mereka masih menyiasat ancaman terhadap sekolah di Marlborough, Masterton, Kaikoura, Greymouth, Queenstown, Levin, Whanganui, Rolleston, Takaka, Geraldine, Dunstan, Ashburton dan Palmerston North.
Komander wilayah Tasman, Simon Feltham berkata mereka bercakap dengan “dua anak muda” berhubung ancaman yang dibuat terhadap Kolej Perempuan Marlborough.
Setakat ini tiada laporan mengenai alat letupan ditemui di mana-mana sekolah yang menjadi sasaran.
Terdapat kejadian serupa pada 2016 apabila sekolah di seluruh New Zealand dan Australia menerima panggilan palsu bahawa terdapat bom di premis itu.
Pada 2018, seorang warga Israel-Amerika telah dipenjarakan selama 10 tahun oleh mahkamah di Israel kerana membuat kira-kira 2,000 ancaman penipuan di Amerika Utara, Britain, Australia, New Zealand, Norway dan Denmark. – Agensi