Sekatan Covid-19 di Belanda cetus rusuhan

Beberapa individu dilaporkan cedera selepas polis Belanda terpaksa melepaskan tembakan amaran dalam satu rusuhan yang tercetus di Rotterdam bagi menghalang perlaksanaan perintah berkurung separa, semalam.

Selain itu, pihak polis turut menggunakan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang mencetuskan kebakaran dengan membakar bunga api di salah sebuah kawasan beli-belah utama di Rotterdam sehingga mengakibatkan keadaan menjadi ganas.

Sabtu lalu, Belanda mengumumkan untuk melaksanakan perintah berkurung separa yang pertama pada musim sejuk dan kerajaan akan melakukan sekatan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu pada restoran, kedai dan acara sukan.

“Demonstrasi itu bermula pada jam 8 malam tadi di Coolsingel sehingga mengakibatkan rusuhan, serta kebakaran berlaku di beberapa tempat dan bunga api turut dibakar.

“Pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebagai amaran dan terdapat beberapa kecederaan akibat dari tembakan tersebut,” jelas polis Rotterdam dalam satu kenyataan.

Jurucakap polis mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya sebuah kereta polis dibakar ketika rusuhan itu, tetapi tidak memberitahu bilangan invidu yang tercedera dalam kejadian itu.

Susulan itu, pihak berkuasa tempatan sudah mengeluarkan arahan kecemasan untuk melarang orang ramai daripada berkumpul di kawasan itu bagi mengelakkan rusuhan daripada berlarutan dan stesen kereta api utama di Rotterdam turut akan ditutup buat sementara waktu.

Melalui arahan kecemasan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, keadaan di bandar itu sangat serius sehingga memerlukan tindakan sewajarnya perlu diambil dengan keutamaan tertinggi.

“Arahan kecemasan harus dikeluarkan untuk mengekalkan ketenteraman awam dan bagi melindungi keselamatan awam,” jelasnya.

Belanda terpaksa menguatkuaskan semula sekatan berikutan kenaikan kes Covid-19, kerana hampir 21,000 jangkitan baharu dilaporkan semalam.

Tindakan ini diumumkan oleh Perdana Menterinya, Mark Rutte pada 12 November lalu dan akan dikuatkuasakan pada keesokannya.

Kebanyakkan bar, restoran, kafe dan pasar raya akan ditutup pada jam 8 malam, manakala kedai tidak penting pula akan ditutup pada jam 6 petang.

Bagaimanapun, sekolah akan tetap dibuka dan penduduk dibenarkan keluar rumah tanpa sebarang sekatan.

Kerajaan Belanda memaklumkan akan mempertimbangkan semula situasi itu pada 3 Disember ini. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR