
Hampir 6.45 juta kematian telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia sejak virus Covid-19 mula dikesan di China pada akhir 2019. - Gambar Shutterstock.com
Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 di seluruh dunia sepanjang tahun ini sehingga semalam (25 Ogos) kini mencecah sejuta orang, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Memetik Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Khamis (25 Ogos), the Associated Press (AP) berkata ia adalah “pencapaian tragis” apabila semua usaha dan peralatan telah ada untuk mencegah kematian.
Menurutnya hampir 6.45 juta kematian telah dilaporkan kepada WHO sejak virus itu mula dikesan di China pada akhir 2019.
“Minggu ini, kita melepasi peristiwa tragis satu juta kematian yang dilaporkan setakat tahun ini.
“Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita sedang belajar untuk hidup dengan Covid-19 apabila satu juta orang telah meninggal dunia dengan pada tahun ini sahaja, apabila kita sudah dua setengah tahun dalam pandemik dan mempunyai semua alat yang diperlukan untuk mencegah kematian.
“WHO meminta semua kerajaan untuk memperkukuh usaha mereka memberi vaksin kepada semua pekerja kesihatan, warga emas dan orang lain yang berisiko tinggi, bagi mencapai 70 peratus perlindungan vaksin untuk seluruh penduduk,” Ghebreyesus dipetik sebagai berkata.
WHO mahu semua negara telah memberi vaksin kepada 70 peratus daripada populasi mereka menjelang akhir Jun lalu.
Tetapi katanya, hanya 10 negara mempunyai liputan pemberian vaksin kurang daripada 10 peratus, yang kebanyakannya menghadapi kecemasan kemanusiaan.
“Bagaimanapun, banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.