Sejarah hitam bola sepak Indonesia, Presiden arah siasatan segera

October 2, 2022 · Dunia

Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) hari ini (2 Oktober 2022) mengarahkan sistem kawalan keselamatan perlawanan bola sepak negara itu disemak, susulan tragedi yang menyebabkan sekurang-kurangnya 129 penonton terbunuh dalam rempuhan yang dicetuskan oleh pertempuran antara penyokong dan polis.

Dalam satu kenyataan di televisyen, beliau berkata Menteri Sukan dan Belia Republik Indonesia, ketua polis negara dan ketua persatuan bola sepak Indonesia diarah “menjalankan penilaian menyeluruh terhadap perlawanan bola sepak dan prosedur keselamatan”.

Secara berasingan, Gabenor Jawa Timur mengumumkan bahawa keluarga mangsa akan menerima 15 juta rupiah (AS$980) sebagai pampasan.

Khofifah Indar Parawansa berkata, kerajaan wilayah akan memberikan 10 juta rupiah ($650) dan daerah akan memberikan lima juta rupiah.

“Ini adalah sebahagian daripada simpati kami kepada keluarga mangsa,” katanya.

Sekurang-kurangnya 129 orang maut di sebuah stadium di Malang, Jawa Timur, apabila beribu-ribu peminat menceroboh padang dan polis melepaskan gas pemedih mata yang mencetuskan rempuhan, kata pihak berkuasa hari ini.

Tragedi itu, yang turut menyebabkan 180 cedera, merupakan salah satu bencana stadium sukan paling maut di dunia.

Kejadian berlaku apabila penyokong pasukan tuan rumah yang kalah menyerbu ke tengah padang untuk menyatakan kekecewaan mereka, tetapi polis yang menyifatkan tindakan itu sebagai rusuhan telah melepaskan gas pemedih mata dalam usaha mengawal keadaan, sekali gus mencetuskan rempuhan dan kes sesak nafas.

Ketua Polis Jawa Timur Nico Afinta memberitahu pemberita “Ia telah menjadi anarkis. Mereka mula menyerang pegawai, mereka merosakkan kereta.”

Rakaman video dari saluran berita tempatan menunjukkan peminat menyerbu ke padang selepas Arema FC tewas kepada Persebaya Surabaya. Pergelutan boleh dilihat, dengan apa yang kelihatan seperti gas pemedih mata di udara.

Nico menjelaskan, seramai 34 penonton dilaporkan meninggal dunia di Stadium Kanjuruhan, Kabupaten Malang, manakala selebihnya meninggal dunia ketika menerima bantuan kecemasan di beberapa hospital tempatan.

Menurutnya, sehingga kini terdapat kira-kira 180 orang yang masih menjalani rawatan di semua hospital tersebut.

Selain jumlah kematian, terdapat 13 kenderaan yang mengalami kerosakan, 10 daripadanya kenderaan polis.

“Masih ada 180 orang yang masih dirawat. Daripada 40,000 penonton itu, bukan semuanya anarkis. Hanya ada sekitar 3,000 penonton yang turun padang,” katanya lagi.

Keganasan peminat bola sepak adalah masalah yang berkekalan di Indonesia, di mana persaingan yang mendalam sebelum ini bertukar menjadi konfrontasi yang membawa maut.

Arema FC dan Persebaya Surabaya adalah saingan lama.

Penyokong Persebaya Surabaya pada awalnya tidak dibenarkan membeli tiket perlawanan itu kerana bimbang berlaku keganasan.

Bagaimanapun, Menteri Penyelaras Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan Indonesia, Mahfud MD, berkata penganjur tidak mengendahkan saranan pihak berkuasa untuk mengadakan perlawanan pada sebelah petang dan bukannya malam.

Beliau berkata kerajaan telah mengesyorkan hanya 38,000 tiket dicetak, tetapi sebaliknya terdapat 42,000 penontin yang berada dalam stadium itu.

Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) menangguhkan perlawanan bola sepak liga utama Indonesia, BRI Liga 1, selama seminggu.

PSSI juga melarang Arema FC daripada menganjurkan perlawanan di tempat sendiri untuk baki musim ini dan berkata ia akan menghantar pasukan penyiasat ke Malang untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

“Kami memohon maaf kepada keluarga mangsa dan semua pihak atas kejadian itu,” kata Pengerusi PSSI Mochamad Iriawan.

Indonesia akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA pada Mei di enam stadium di seluruh negara. Stadium Kanjuruhan di Malang tidak termasuk dalam senarai itu.

Tragedi stadium lain termasuk kemalangan pada 1989 di tempat penonton di Stadium Hillsborough Britain, yang menyebabkan kematian 97 penyokong Liverpool, dan stadium Port Said 2012 di Mesir di mana 74 orang maut.

Pada tahun 1964, 320 orang terbunuh dan lebih 1,000 cedera ketika rempuhan pada perlawanan kelayakan Olimpik Peru-Argentina di Stadium Nasional Lima. – Agensi

Berita berkaitan
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024· Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024· Isu semasa
Polis segerakan siasatan dalam kes langgar pelajar sehingga maut
December 16, 2023· Isu semasa
Agus dipanggil beri keterangan esok terhadap dakwaan gangguan seksual
December 13, 2023· Politik
Popular

Sorry. No data so far.

Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok