Saya tak ada RM157j untuk dibayar: Roger Ng beritahu mahkamah AS

March 17, 2023 · Dunia

Bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng, yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun minggu lalu kerana peranannya dalam penipuan 1MDB, mendakwa dia tidak dapat memenuhi tuntutan pendakwa Amerika Syarikat (AS) untuk dia membayar AS$35 juta (RM157 juta) kerana kerajaan Malaysia sudah mengambil semua wangnya.

Pendakwa raya Persekutuan telah meminta Hakim Daerah AS, Margo Brodie di Brooklyn, New York, untuk memerintahkan Ng melucuthakkan wang itu kerana diperoleh secara haram daripada konspirasi untuk merompak dana kekayaan negara Malaysia ketika hukuman diputuskan pada 9 Mac lalu.

Peguam Ng, Marc Agnifilo, berhujah bahawa tiada penalti lain diperlukan dan anak guamnya tidak mempunyai dana dalam apa jua keadaan.

Brodie tidak membuat keputusan berhubung isu pelucuthakan berkenaan pada minggu lalu. Rabu lalu, hakim berkenaan memerintahkan kedua-dua belah pihak terbabit untuk mengemukakan hujah sama ada jumlah diminta pendakwa raya itu melanggar Pindaan Kelapan yang melarang denda berlebihan berserta hukuman kejam atau luar biasa.

Pihak Ng, 51, berhujah bahawa Kerajaan Malaysia sudah merampas lebih AS$35 juta (RM157.18 juta) dari 11 akaun yang dipegang keluarganya. Dalam satu pemfailan di mahkamah, Agnifilo menegaskan rampasan itu bertujuan sebagai hukuman dan bukannya pemulangan dana.

“Pegawai polis di Malaysia amat jelas bahawa polis mahukan semua wang dalam akaun berlainan itu; bukan sekadar pemulangan dana 1MDB yang dikesan,” tulis Agnifilo.

Walaupun mendakwa terdapat asas lain untuk menolak tuntutan AS berhubung pelucuthakan itu, Agnifilo turut berhujah bahawa ia melanggar Pindaan Kelapan.

Brodie berkata, beliau percaya pelucuthakan ‘diperlukan mengikut undang-undang’ bagi jenayah yang disabitkan ke atas Ng, namun mahu kedua-dua pihak menangani hujah Ng bahawa tuntutan AS$35 juta itu adalah sangat tidak wajar.

Sebelum ini, dia disabitkan dengan kesalahan rasuah dan pertuduhan rasuah lain berkaitan penyelewengan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas ketua perbankan pelaburan di Malaysia, Ng adalah satu-satunya pegawai Goldman yang dibicarakan di AS berkaitan skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia membabitkan dana 1MDB.

Ng mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan dihadapinya – bersubahat dalam penggubahan wang haram dan melanggar dua undang-undang antirasuah AS.

Juri mendengar hampir dua bulan berhubung bukti rasuah dan sogokan berjumlah puluhan juta dolar yang didakwa didalangi penjenayah dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Penyelewengan itu termasuk pembiayaan mewah untuk batu permata yang dikaitkan dengan isteri bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak – Datin Seri Rosmah Mansor – karya seni, kapal layar dan hartanah.

Pihak pendakwa raya Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) dicuri daripada 1MDB, dana yang ditubuh oleh Najib pada tahun 2009 bagi membiayai program-program di Malaysia.

Najib hilang kuasa selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya kalah pada Pilihan Raya Umum 2018, yang melihat pembangkang ketika itu menggunakan isu 1MDB sebagai subjek utama kempen mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan kemudiannya memfailkan sebanyak 42 pertuduhan jenayah terhadap Najib, yang membawa kepada sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun kepada beliau pada Julai 2020 atas pendakwaan berkaitan penyelewengan wang daripada sebuah anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang setelah disabitkan dengan kesalahan berkaitan kes SRC International – Agensi

Berita berkaitan
Zahid dapat pasport semula secara kekal, tidak dibantah pendakwa
March 27, 2023· Politik
Kes saman Zahid-Dr Mahathir ditetapkan pada November tahun ini
March 24, 2023· Politik
Mahkamah benar pasport diserah kepada Rosmah buat sementara
March 21, 2023· Isu semasa
Indira kemuka saman 8 negeri tuntut isytihar tukar agama unilateral tak sah
March 21, 2023· Isu semasa
Popular
20 jemaah umrah maut, 29 cedera bas terbalik, terbakar
March 28, 2023
Bintang badminton Indonesia maut nahas jalan raya
March 21, 2023
Arab Saudi puasa Khamis
March 22, 2023
Gempa bumi kuat goncang Afghanistan, Pakistan, utara India
March 22, 2023
Lagi Dunia terkini
20 jemaah umrah maut, 29 cedera bas terbalik, terbakar
13 jam lalu · Dunia
Kes 1MDB: Mahkamah lucut hak AS$35.1 juta terhadap Roger Ng
March 25, 2023 · Dunia
Asteroid hampir sebesar padang bola lintasi bumi esok: NASA
March 24, 2023 · Dunia
Gempa bumi kuat goncang Afghanistan, Pakistan, utara India
March 22, 2023 · Dunia
Arab Saudi puasa Khamis
March 22, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Wakil rakyat ada hak, tak salah jatuhkan kerajaan ‘cakap banyak’, kata Mahathir
42 minit lalu
[VIDEO] Mahathir hairan Anwar disambut pegawai rendah di Arab Saudi
10 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok