Satu botol tercemar tapi Moderna tarik balik 764,900 dos vaksin Covid

Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS), Moderna, menarik balik 764,900 dos vaksin Covid-19 keluarannya kerana benda asing ditemui dalam salah satu botol yang dibuat oleh pengeluar kontraknya Rovi.

Moderna Inc dalam pengumuman pada Jumaat, April 8 berkata setakat ini tiada isu keselamatan telah dikenal pasti.

Kebanyakan dos berkenaan diedarkan di Norway, Poland, Portugal, Sepanyol dan Sweden pada Januari lalu.

Pengeluar ubat-ubatan itu berkata pencemaran itu ditemui hanya dalam satu botol, dan syarikat berkenaan menarik balik keseluruhannya kerana mengambil langkah berhati-hati.

Bagaimanapun, Moderna tidak mendedahkan apa yang ditemui di dalam botol itu.

Tahun lalu, pihak berkuasa Jepun menggantung penggunaan beberapa dos vaksin, yang mana Moderna kemudiannya menemui bahan cemar keluli tahan karat dalam beberapa botol.

Lebih 900 juta dos vaksin Moderna Covid-19 telah diberikan di seluruh dunia sehingga kini. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR