Sambutan 2022: Bali ‘halau’ pengembara langgar SOP Covid-19

Indonesia hari ini memberi amaran kepada pengembara asing mereka akan dihalau keluar sekiranya melanggar protokol dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di pulau peranginan Bali ketika sambutan Tahun Baharu, esok.

“Siap sedia untuk dihalau keluar,” jelas Ketua Imigresen Bali, Jamaruli Manihuruk.

Katanya semua pihak perlu mematuhi protokol kesihatan etika negara itu sedang berusaha mencegah penularan varian Omicron yang sedang melanda global sekarang.

Selain itu, Gabenor Bali juga sudah melarang karnival, pesta bunga api dan perhimpunan melebihi 50 orang, sepanjang tempoh sambutan Krismas dan Tahun Baharu.

Manakala, pusat beli-belah, restoran dan kafe dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam pada kapasiti 75 peratus.

Sebelum ini, Bali merupakan salah satu lokasi pilihan ramai pengembara dari Australia dan New Zealand serta negara jirannya seperti Singapura kerana pemandangan tropikanya yang indah, pantai luncur air serta pesta.

Jamaruli memaklumkan sepanjang tahun ini hampir 200 pengembara diusir dari pulau itu termasuk tujuh pelancong diarah keluar dari Indonesia kerana melanggar protokol Covid-19.

Julai lalu, tiga pengembara asing dari Amerika Syarikat (AS), Ireland dan Russia dihalau ke negara asal mereka selepas ditahan kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

Pada Mei lalu, seorang selebriti sosial media Russia dan YouTuber Taiwan yang berpangkalan di AS dihalau pulang selepas menyiarkan video di mana mereka dilihat bersiar-siar di sekitar Bali dengan hanya mengecat muka seolah-olah memakai pelitup muka.

Sehingga kini, Indonesia masih kekal sebagai negara Asia Tenggara yang terjejas teruk kerana dilanda pandemik Covid-19 dan sehingga semalam, lebih 4.2 juta jangkitan kes Covid-19 direkodkan termasuk lebih 144,000 korban sejak tahun lalu.

Di Bali, lebih 110,000 kes positif dan lebih 4,000 korban yang dilaporkan melalui data keseluruhan di republik itu.

Dengan kadar vaksinasi yang sangat rendah, republik itu kekal terdedah kepada jangkitan baharu, terutamanya varian Omicron yang lebih mudah menular dan kini merupakan varian dominan di Eropah.

Setakat ini, terdapat hampir 68 kes akibat jangkitan varian Omicron yang disahkan di Indonesia. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR