Sambut 2022: Pemisah letup sembilan bom di Selatan Thailand

Sambutan Ambang Tahun Baharu 2022 di Yala, Selatan Thailand malam semalam dikejutkan dengan letupan bom, namun tiada kehilangan jiwa dilaporkan.

Dalam kejadian sekitar 8.45 hingga 9.15 malam waktu tempatan semalam, sembilan butir bom dipasang pada tiang elektrik dan telefon diletupkan di tiga daerah di wilayah Yala.

Ketua Polis Wilayah Yala, Mejar Jeneral Tinnakorn Rangmat berkata letupan itu berlaku di tiga daerah -Muang, Benang Setar dan Krong Pinang apabila penduduk tempatan mahu keluar rumah menyambut ambang Tahun Baharu.

“Letupan itu telah menyebabkan kerosakan lapan tiang elektrik serta satu tiang telefon dan gangguan bekalan elektrik,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di tempat kejadian, hari ini.

Menurutnya bom buatan sendiri dipasang pada tiang elektrik di Jambatan Thasab yang terletak berdekatan dengan Penjara Pusat Yala di Daerah Sateng.

“Kumpulan tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan khianat itu telah menyebabkan keadaan kucar kacir pada ambang Tahun Baru,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa balas dendam adalah punca kejadian letupan yang menyasarkan tiang elektrik itu.

Insiden letupan bom dan berbalas tembakan sering berlaku di Selatan Thailand dengan kejadian terbaharu pada 24 Disember lalu, di mana dua lelaki dipercayai anggota militan ditemui maut dalam satu kejadian berbalas tembakan di Pattani. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR