Saintis Jepun dakwa berjaya hasilkan pil bunuh Covid-19

Rawatan percubaan daripada Shionogi & Co Ltd menunjukkan keberkesanan pil yang dihasilkan syarikat farmasi itu membunuh dengan cepat virus yang menjadi punca Covid-19, kata pembuat ubat Jepun itu.

Pil S-217622, ​​”menunjukkan pembasmian pantas virus SARS-CoV-2 yang berjangkit”, kata Shionogi dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu dibuat susulan keputusan data terbaharu, hasil keputusan Fasa-2b daripada percubaan klinikal Fasa II/III ubat itu.

Syarikat itu mempunyai cita-cita global untuk menghasilkan pil antiviral, yang kini sedang dinilai pengawal selia Jepun.

Laporan penemuan pada Ahad juga menunjukkan “tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam jumlah skor 12 simptom Covid-19 antara kumpulan rawatan” walaupun ubat itu menunjukkan peningkatan dalam skor komposit lima simptom “pernafasan dan demam”, kata Shionogi.

Pengeluar ubat itu pada Mac lalu berkata akan melancarkan percubaan Fasa III global di seluruh dunia untuk ubat itu dengan sokongan kerajaan Amerika Syarikat dan Ketua Eksekutif Isao Teshirogi berkata pengeluaran boleh mencapai 10 juta dos setahun.

Susulan keputusan kajian terbaharu itu, saham syarikat itu meningkat naik pada Jumaat selepas dilaporkan kerajaan Amerika juga sedang menimbang untuk mendapatkan bekalan pil tersebut.

Pada 13 April, saham Shionogi merosot sebanyak 16% selepas dilaporkan pil tersebut berisiko memberi kesan terhadap kehamilan, berdasarkan data praklinikal.

BERITA BERKAIT
POPULAR