Saintis Afrika Selatan temukan sub-varian Omicron BA.4 dan BA.5

Saintis Afrika Selatan menemui dua sub-varian baharu bagi varian Omicron Covid-19, kata Profesor Tulio de Oliveira, yang mengetuai institusi penjujukan genom di negara itu.

Sub-varian itu telah dinamakan BA.4 dan BA.5, katanya melalui mesej teks dan dalam satu siri siaran di Twitter.

Namun, Prof de Oliveira berkata, sub-varian itu tidak menyebabkan lonjakan jangkitan di Afrika Selatan dan telah ditemui dalam sampel dari beberapa negara.

“Memandangkan jangkitan, kemasukan ke hospital dan kematian yang sangat rendah di Afrika Selatan, kami dimaklumkan tentang evolusi yang berterusan tetapi tidak membimbangkan.

“Semua makmal melakukan ujian peneutralan virus dan vaksin dan kami sedang memperkukuh pengawasan genomik,” kata Oliveira.

Afrika Selatan dan Botswana adalah yang pertama menemui Omicron pada November tahun lalu dan Afrika Selatan adalah negara pertama dilanda gelombang jangkitan disebabkan oleh varian itu.

Kemasukan ke hospital dan kematian adalah kecil berbanding jangkitan yang disebabkan oleh varian Delta, walaupun kes harian mencecah rekod pada Disember.

Sub-varian itu juga telah ditemui di Botswana, Belgium, Jerman, Denmark dan Britain, kata Prof de Oliveira di Twitter.

Kedua-dua sub-varian itu mempunyai mutasi yang serupa pada protein spike, bahagian yang membantu virus melekat pada sel manusia, dengan sub-varian BA.2, yang dilaporkan lebih cepat berjangkit berbanding varian asal Omicron, katanya.

Kedua-dua sub-varian itu berbeza antara satu sama lain dari segi mutasi asid amino di luar protein spike, katanya. Botswana juga telah mengumumkan penemuan varian tersebut.

Afrika Selatan pada Isnin (11 April) melaporkan 553 kes Covid-19 baharu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR