
Kementerian Pertahanan Russia mengumumkan kejayaan ujian peluru berpandu jelajah hipersonik Zirkon ketika Moscow meningkatkan serangan di Ukraine.
Russia berjaya menguji peluru berpandu jelajah Zirkon hipersonik pada jarak kira-kira 1,000 kilometer, kata Kementerian Pertahanan semalam.
Peluru berpandu itu dilepaskan dari kapal frigat Admiral Gorshkov yang ditempatkan di Laut Barents dan berjaya mengenai sasaran yang terletak 1,000 kilometer (625 batu) jauhnya di Laut Putih di Artik, kata Moscow.
Video yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan menunjukkan peluru berpandu itu ditembak dari sebuah kapal dan meluncur ke langit pada trajektori yang curam.
Kementerian itu menambah ujian itu dilakukan sebagai sebahagian daripada “ujian senjata baharu” yang berterusan.
Presiden Vladimir Putin menyifatkan Zirkon sebagai sebahagian daripada sistem senjata generasi baharu yang tiada tandingan.
Senjata hipersonik boleh bergerak pada sembilan kali kelajuan bunyi. Tahun lalu Russia telah melakukan ujian pelancaran Zirkon dari kapal perang dan kapal selam.
Ujian terbaharu senjata hipersonik menyusul ketika Russia terus mencapai kemajuan dalam perangya dengan Ukraine yang bermula akhir Februari lalu.
Mac lalu, Moscow berkata ia telah menggunakan buat kali pertama peluru berpandu hipersonik Kinzhal, atau belati, berketepatan tinggi dalam perang dengan Ukraine.
Bulan lalu Russia juga menguji peluru berpandu antara benua berkeupayaan nuklear yang baharu, Sarmat, yang mampu membawa 10 atau lebih kepala peledak dan mampu untuk menyerang Amerika Syarikat.
Senjata generasi baharu, yang diperkenalkan oleh Putin pada 2018, lebih sukar untuk dikesan dan dipintas sistem pertahanan peluru berpandu berbanding senjata konvensional, kerana kelajuannya, selain kerana ia dilancarkan pada ketinggian lebih rendah ke arah sasarannya.