Russia uji peluru berpandu antara benua edisi nuklear paling berkuasa

Russia pada Rabu (20 April) berkata bahawa negara itu telah melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) – Sarmat – tambahan baharu kepada edisi senjata nuklearnya.

Presiden Vladimir Putin menyifatkan ICBM baharu itu akan memberikan musuh Moscow sesuatu untuk difikirkan.

Pelancaran pertama dilakukan hari ini dari silo bawah tanah di pelabuhan angkasa Plesetsk di barat laut Russia pada saat ketegangan yang semakin memuncak selepas Putin mengancam penggunaan senjata nuklear sebagai tindak balas terhadap provokasi Barat.

Putin muncul di televisyen sambil diberitahu oleh pegawai tentera bahawa peluru berpandu itu mengenai sasaran di Semenanjung Kamchatka di timur jauh.

“Senjata baharu itu mempunyai ciri taktikal dan teknikal tertinggi dan mampu mengatasi semua sistem pertahanan antipeluru berpandu moden,” kata Putin.

“Senjata yang benar-benar unik ini akan mengukuhkan potensi tempur angkatan tentera dan secara pasti akan menjamin keselamatan Russia daripada ancaman luar.”

Sarmat ialah ICBM baharu yang dijangka akan digunakan oleh Russia dengan 10 atau lebih kepala peledak pada setiap peluru berpandu, menurut Perkhidmatan Penyelidikan Kongres Amerika Syarikat.

Ia telah dibangunkan selama bertahun-tahun, dan ujian pelancarannya bukanlah satu kejutan buat Barat, tetapi ia menyusul pada saat ketegangan geopolitik yang melampau akibat perang Russia di Ukraine.

Bulan lalu, Russia berkata mereka menggunakan peluru berpandu berketepatan tinggi, Kinzhal, buat pertama kali dalam perang terhadap Ukraine.

Media Russia mengatakan Sarmat ialah peluru berpandu paling berkuasa dengan jarak sasaran terpanjang di dunia, yang akan meningkatkan dengan ketara kuasa tempur pasukan nuklear negara itu.

Sebelum ini, Satan-2 dipercayai sebagai ‘binatang’ dalam edisi senjata nuklear Russia. dengan anggaran jarak 11,000 batu dan berat muatan 10 tan.

Sarmat, dengan berat lebih 200 tan mampu mengangkut pelbagai kepala peledak, sambil Putin berkata peluru berpandu itu boleh mengenai mana-mana sasaran di bumi. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR