Russia tutup Mariupol, perkenal pas keluar masuk kepada penduduk

Penasihat Datuk Bandar Mariupol berkata tentera Russia mengumumkan bandar yang dikepung itu akan ditutup untuk masuk dan keluar mulai Isnin (18 April), selain memberi amaran kepada lelaki dewasa yang tinggal di bandar itu akan “ditapis.”

Petro Andriushchenko berkata menerusi laman Telegram pada Ahad bahawa tentera Russia telah mula mengeluarkan pas untuk pergerakan di dalam bandar yang dikepung.

Beliau turut menyiarkan gambar yang dikatakan menunjukkan penduduk berbaris untuk pas pergerakan itu.

“Beratus-ratus penduduk perlu berbaris untuk mendapatkan pas, tanpa itu mustahil bukan sahaja untuk bergerak antara daerah di bandar, tetapi juga untuk keluar di jalanan mulai minggu depan,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan pada Sabtu, Andriushchenko berkata tentera Russia juga mengumumkan terdapat larangan bergerak di sekitar daerah selama seminggu.

Andriushchenko menambah, menurut maklumat yang diterima, lelaki dewasa di bandar itu akan tertakluk kepada “penapisan” — dipindahkan untuk pemeriksaan oleh tentera Russia.

Agensi media tidak boleh mengesahkan secara bebas dakwaan Andriushchenko, yang tidak berada di Mariupol tetapi mengumpulkan maklumat daripada orang ramai di bandar itu, yang telah dikepung selama seminggu.

Pegawai Ukraine dan Amerika Syarikat mendakwa tentera Russia telah melakukan penapisan ke atas orang awam di kawasan di bawah kawalan mereka, menyaring mereka secara biometrik, merampas telefon dan, dalam beberapa kes, menghantar mereka ke Russia.

Majlis Bandaraya Mariupol mendakwa penapisan adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas oleh Russia untuk menutup potensi jenayah perang yang dilakukan di bandar itu.

Tentera Ukraine yang mempertahankan bandar itu sebelum ini menolak kata dua daripada Kementerian Pertahanan Russia yang menyeru menyerah diri. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR