Russia tuntut penduduk Mariupol naikkan bendera putih, menyerah

Russia menuntut tentera Ukraine di bandar Mariupol yang terkepung, meletak senjata sebagai pertukaran untuk laluan selamat keluar dari bandar itu, tetapi Ukraine menolak tawaran berkenaan.

Permintaan Rusia menyusul beberapa jam selepas Moscow mengebom sebuah sekolah seni yang melindungi kira-kira 400 orang, menurut pihak berkuasa Ukraine.

Kolonel Jeneral Mikhail Mizintsev berkata Russia akan membenarkan dua koridor sebagai laluan keluar penduduk dari bandar tepi pantai itu, sama ada menuju ke timur di Russia atau barat di bahagian lain Ukraine.

Penduduk Mariupol diberi masa sehingga petang ini untuk menjawab tawaran itu, termasuk mereka menaikkan bendera putih. Russia tidak menyatakan tindakan yang akan diambil sekiranya tawaran itu ditolak.

Tetapi Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Irina Vereshchuk berkata “tidak”.

“Tidak ada perbincangan berhubung peletakan senjata. Kami sudah memaklumkan kepada pihak Russia mengenai perkara ini,” katanya kepada media Ukraine Pravda. “Saya menulis: `Daripada membuang masa pada lapan muka surat surat, buka koridor sahaja.’”

Datuk Bandar Mariupol, Piotr Andryushchenko juga menolak tawaran itu sambil berkata dalam catatan Facebook bahawa beliau tidak perlu menunggu sehingga pagi untuk membalasnya, menurut agensi berita Interfax Ukraine.

Kementerian Pertahanan Russia juga berkata pihak berkuasa di Mariupol boleh menghadapi tribunal tentera jika mereka memihak kepada apa yang disifatkan sebagai “pengganas,” lapor agensi berita Russia, RIA Novosti.

Tawaran sebelum ini untuk membenarkan penduduk mengosongkan Mariupol dan bandar-bandar lain di Ukraine telah gagal atau hanya berjaya sebahagiannya, dengan pengeboman berterusan ketika orang awam berusaha melarikan diri.

Awal pagi Ahad, pihak berkuasa Ukraine berkata tentera Russia mengebom sebuah sekolah seni di Mariupol, dan mangsa yang dipindahkan dari bandar pelabuhan yang musnah itu menggambarkan bagaimana “pertempuran berlaku di setiap jalan,” beberapa minggu selepas pengepungan.

Bercakap menerusi sidang video hari ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkata kira-kira 400 orang awam sedang berlindung di sekolah seni di bandar pelabuhan Laut Azov yang dikepung apabila ia dibom.

“Mereka berada di bawah runtuhan, dan kami tidak tahu berapa ramai daripada mereka yang terselamat,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR