Russia serang Ukraine dari pelbagai arah, beri amaran kepada negara lain

Presiden Vladimir Putin, tanpa mengendahkan kecaman dunia dan sekatan yang dikenakan, meneruskan serangan ke atas negara merdeka, Ukraine, dalam tindakan berskala penuh dari pelbagai arah – satu langkah yang bakal menulis semula landskap geopolitik dunia.

Ketika Kyiv merayu bantuan tatkala rakyatnya mula melarikan diri, Putin menghantar tentera daratnya memasuki Ukraine dalam perang yang dianggap terbesar di Eropah dalam beberapa dekad, sambil merujuk senjata nuklearnya, dan mengancam mana-mana pihak yang cuba mengganggunya.

Pegawai Ukraine berkata, tentera mereka sedang berdepan seranga Russia dari pelbagai sudut dan telah kehilangan kawalan ke atas loji kuasa nuklear Chernobyl yang telah dihentikan, tempat bencana nuklear terburuk di dunia.

“Russia telah memulakan usaha jahat, tetapi Ukraine mempertahankan dirinya dan tidak akan melepaskan kebebasannya,” kaya Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menerusi Twitter.

Di Washington, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan sekatan baharu terhadap Russia, dengan mengatakan Putin “memilih perang” dan Moscow akan menanggung akibat tindakan itu.

Biden juga mengakui bahawa pencerobohan itu – dan usaha untuk menggagalkan Putin – akan menyebabkan rakyat AS menanggung kesan.

Tetapi beliau berusaha untuk meyakinkan bahawa kesan ekonomi yang mungkin dihadapi, terutama dengan kenaikan harga bahan tenaga, dijangka berlaku dalam tempoh masa yang pendek.

Sekatan itu akan menyasarkan bank Russia, individu berkuasa, syarikat dikawal kerajaan dan sektor teknologi tinggi, katanya, sambil menambah ia direka untuk tidak mengganggu pasaran tenaga global. Eksport minyak dan gas asli Russia merupakan sumber tenaga penting untuk Eropah.

Kementerian Pertahanan Russia berkata tentera telah memusnahkan banyak pangkalan udara Ukraine, kemudahan tentera dan dron, dan mengesahkan kehilangan jet serangannya Su-25, sambil menyalahkan “kesilapan juruterbang.”

Russia mendakwa tidak menyasarkan bandar, tetapi menggunakan senjata tepat dan tidak memberi ancaman kepada penduduk awam.

Angkatan bersenjata Ukraine melaporkan sekurang-kurangnya 40 askar maut, dan berkata sebuah pesawat tentera yang membawa 14 orang terhempas di selatan Kyiv.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Ukraine Viktor Lyashko berkata 57 rakyat negara itu terbunuh akibat pencerobohan Russia, dan 169 lagi cedera.

Lyashko juga berkata pihak berkuasa Ukraine menggunakan semula kemudahan penjagaan kesihatan negara itu untuk memberi ruang kepada mereka yang memerlukan bantuan perubatan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR