Russia sekali lagi gesa askar Ukraine di Mariupol letak senjata

Russia sekali lagi akan membuka koridor kemanusiaan untuk memindahkan orang awam dan warga asing dari Mariupol, susulan situasi kemanusiaan yang serius di daerah tertentu yang dikawal unit bersenjata Ukraine.

Serentak itu, Russia turut menawarkan kepada tentera Ukraine dan askar upahan asing untuk meletak senjata dan keluar dari bandar itu menuju Zaporozhye, kata Ketua Pusat Kawalan Pertahanan Nasional Russia, Mikhail Mizintsev.

“Semata-mata untuk tujuan kemanusiaan dan juga atas permintaan pihak Turki, Persekutuan Russia membuka semula koridor kemanusiaan mulai jam 6 pagi pada 5 April 2022 untuk pemindahan warga asing dan orang awam dari Mariupol.

“Ia juga bersedia untuk memastikan kemasukan kapal yang terlibat dalam pemindahan ke pelabuhan Berdyansk dan keluar darinya dengan mematuhi peraturan undang-undang maritim antarabangsa,” kata Mizintsev.

Menurunya, situasi kemanusiaan adalah serius di daerah tertentu di Mariupol yang dikawal oleh unit bersenjata Ukraine.

“Berpandukan prinsip kemanusiaan semata-mata untuk menyelamatkan nyawa orang awam, Angkatan Tentera Russia menawarkan unit Angkatan Tentera Ukraine, batalion pertahanan wilayah dan askar upahan asing untuk menghentikan pertempuran mulai 6 pagi (waktu Moscow) pada 5 April 2022.

“Meletak senjata dan keluar ke arah Zaporozhye ke wilayah di bawah kawalan Kiev di sepanjang laluan yang diselaraskan dengan pihak Ukraine,” katanya.

Nyawa semua orang yang meletakkan senjata akan terjamin, kata Mizintsev.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Russia memuat naik video pesawat Su-35, pejuang Su-30SM yang menyertai operasi ketenteraan khas Russia di Ukraine.

Video itu menunjukkan krew pesawat tempur Su-35 dan Su-30SM melakukan serangan terhadap kemudahan tentera Ukraine. Juruterbang melakukan penerbangan pada pelbagai ketinggian, menggunakan peluru berpandu udara ke permukaan dan udara ke udara. – TASS

BERITA BERKAIT
POPULAR