Russia rancang tarik diri daripada program stesen angkasa

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Russia (Roscosmos), Dmitry Rogozin berkata beliau akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menamatkan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dan 14 negara lain dalam program Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Dalam akaun media sosial Telegramnya, beliau berkata menyalahkan sekatan yang dikenakan oleh Barat selepas Russia menyerang Ukraine sehingga menjejaskan kerjasama di orbit.

“Saya percaya bahawa pemulihan hubungan normal antara rakan kongsi di ISS dan projek bersama lain mungkin hanya dengan penarikan diri sepenuhnya dan tanpa syarat disebabkan sekatan haram,” kata Rogozin.

Rogozin tidak memberikan butiran termasuk garis masa bila beliau mahu Russia menamatkan penglibatannya dalam makmal mengorbit.

Stesen angkasa lepas telah bertahun-tahun dipuji sebagai contoh kerjasama antara Moscow dan Washington dalam dunia pasca Perang Dingin, dan cadangan baru-baru ini oleh Rogozin mengenai masa depannya telah menjadi petunjuk kepada ketegangan yang meningkat antara Barat dan Russia susulan pencerobohan ke atas Ukraine pada 24 Februaru lalu.

Pegawai NASA, bagaimanapun, berusaha bersungguh-sungguh mengetepikan kenyataan Rogozin bahawa Russia mungkin menarik diri daripada perkongsian stesen angkasa dan berkata bahawa operasi di ISS diteruskan seperti biasa.

Pada hari Rabu, seorang angkasawan NASA, Mark Vande Hei, dan dua rakan sejawat Russia kembali ke Bumi. Kapsul kepulangan mereka mendarat di Kazakhstan, ditemui oleh kakitangan Russia dan NASA di tapak pendaratan.

Perjanjian antara NASA, Russia dan negara lain yang mengambil bahagian dalam program ISS berjalan hingga 2024. AS sedang berusaha untuk melanjutkannya sehingga 2030.

Pentadbir Bersekutu NASA untuk operasi angkasa lepas, Kathy Lueders baru-baru ini berkata perbincangan sedang dijalankan.

Tujuh anak kapal, termasuk tiga warga Russia, diketuai oleh angkasawan NASA, Tom Marshburn kini berada di ISS.

ISS adalah perkongsian antarabangsa lima agensi angkasa lepas dari 15 negara. Ianya mula diduduki secara berterusan sejak November 2000.

Krew antarabangsa tujuh angkasawan akan tinggal dan bekerja semasa melakukan perjalanan pada kelajuan lima batu sesaat, mengorbit bumi kira-kira setiap 90 minit. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR