
Tentera Ukraine menggunakan meriam Howitzer FH-70 membalas serangan Russia di wilatah Donbas pada 18 Julai 2022. - Gambar Reuters
Tentera Russia meneruskan pengeboman mereka ke atas bandar di seluruh Ukraine, dengan serangan sengit terhadap Sumy di utara, menggunakan bom berangkai menyasarkan Mykolaiv dan serangan peluru berpandu di Odesa di selatan, kata pihak berkuasa pada Selasa.
Selepas gagal menawan ibu negara Kyiv pada awal pencerobohan bermula 24 Februari lalu, Russia beralih kepada kempen pengeboman besar-besaran bagi mengukuh dan memperluas kawalannya ke atas selatan dan timur Ukraine.
Ukraine berkata tentera Russia telah meningkatkan serangan jarak jauh, membunuh sejumlah besar orang awam. Moscow berkata serangan itu hanya menyasarkan tentera.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy berkata Russia telah menembak lebih daripada 3,000 peluru berpandu jelajah dan puluhan ribu peluru meriam sepanjang konflik lima bulan itu.
Pada hujung minggu, Zelenskiy menggantung ketua keselamatan negara dan pendakwa raya tertinggi, dengan mengatakan mereka gagal membersihkan perisik Russia daripada Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU).
Walaupun beliau mendedahkan penembusan Russia ke atas SBU, pegawai Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berkata Washington akan terus berkongsi risikan yang dikatakan oleh pegawai AS yang digunakan Kyiv untuk bertindak balas terhadap serangan Moscow.
Minggu ini boleh menjadi penting bagi negara-negara Eropah yang bimbang tentang kesan perang dan sekatan ke atas bekalan gas.
Russia dijangka membuka semula saluran paip gas asli utamanya ke Jerman, Nord Stream 1, dalam beberapa hari akan datang selepas penyelenggaraan tetap, tetapi warga Eropah bimbang Moscow boleh menutupnya bila-bila masa.
Pengendali saluran gas Russia, Gazprom, memberitahu pelanggan di Eropah bahawa mereka tidak dapat menjamin bekalan gas kerana keadaan “luar biasa”. – Agensi